'Muhyiddin pernah jadi PM, ekonomi merudum, rakyat tiada kerja'
- Suara Keadilan

- Jul 28
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) tampil mempersoalkan pencapaian Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerajui negara sebagai PM selama hampir 18 bulan sebelum ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi balas terhadap kritikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dan mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy berhubung himpunan 'Turun Anwar' Sabtu lalu.
Menurut Shamsul, rakyat telah memberi ruang dan peluang kepada Muhyiddin untuk memerintah negara, namun hasilnya ekonomi merudum, ratusan ribu kehilangan kerja dan pelabur lari.
''SOP (Prosedur Operasi Piawai) pandemik (Covid 19) pula bercelaru. Istilah 'kerajaan kayangan' lahir kerana rakyat melihat dua darjat layanan.
''Akhirnya beliau hilang sokongan majoriti dan terpaksa meletak jawatan. Datuk Seri Ismail Sabri menggantikannya.
''Soalnya mudah. Jika ketika berkuasa pun rakyat menderita, atas alasan apa hari ini Muhyiddin cuba mengangkat dirinya sebagai penyelamat yang mendengar suara rakyat?'' soalnya dalam satu kenyataan.
Shamsul juga menempelak Ahli Parlimen Pagoh itu yang melaungkan slogan kebebasan berhimpun, sedangkan rekod pentadbiran beliau menunjukkan sebaliknya.
Pada era pemerintahan Muhyiddin, Shamsul mengingatkan, rakyat 'dipenjara' dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tahun dan antara yang terpanjang di dunia.
Sekatan berhimpun dikuatkuasakan, malah Ahli Parlimen juga pernah disekat daripada masuk ke Dewan Rakyat.
''Beberapa himpunan rakyat ditekan di bawah pemerintahannya seperti Himpunan Undi18 (2021) yang menyaksikan aktivis pelajar disiasat kerana bantahan penangguhan Undi18.
''Himpunan #Lawan dan Black Flag (2021) juga disekat.. aktivis ditahan, diugut siasatan bawah Akta 342.
''Himpunan Tuntut Parlimen Bersidang (2021), kawasan Parlimen dikawal ketat, wakil rakyat dihalang masuk, rakyat dilarang berkumpul.
''Ironinya, pemimpin yang menutup ruang rakyat bersuara ketika berkuasa, kini berdiri di atas pentas mengangkat slogan 'dengar suara rakyat,'' sinis beliau.
Shamsul, yang juga mantan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya turut mempersoalkan mengapa Muhyiddin tidak mengambil langkah membentuk Kerajaan Perpaduan ketika beliau sendiri berada di tampuk kuasa 2020 - 2021.
Katanya, kini Muhyiddin dilihat menyerang Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar.
''Ketika jadi PM, kenapa beliau sendiri gagal membina kerajaan yang inklusif dan stabil?
''Sebaliknya, Malaysia ketika itu disajikan drama keluar-masuk sokongan, tukar ganti menteri dan akhirnya beliau tumbang kerana hilang majoriti,'' bidas beliau lagi.









Comments