top of page

Wanita KEADILAN Johor anjur Iftar Hari Wanita Antarabangsa, perkasa usahawan

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 3 minutes ago
  • 3 min read
Wanita KEADILAN Johor hadir dalam majlis  Iftar Hari Wanita Antarabangsa
Wanita KEADILAN Johor hadir dalam majlis  Iftar Hari Wanita Antarabangsa

Sempena sambutan Hari Wanita, satu majlis Iftar Hari Wanita Antarabangsa diadakan Wanita KEADILAN Johor di Dewan Sri Pinang Event Hall, D’eAurora Pontian bagi menghargai sumbangan serta peranan wanita dalam pembangunan masyarakat.


Program yang berlangsung semalam itu sebagai platform meraikan wanita yang menjadi inspirasi dalam komuniti serta mengeratkan hubungan masyarakat melalui majlis berbuka puasa.


Ahli Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Johor, Dr Tamil Selvi Rajoo berkata, program berkenaan bertujuan menonjolkan kisah ketabahan dan kejayaan wanita yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran kehidupan.


"Program seperti ini bukan sekadar meraikan wanita, tetapi juga memberi pengiktirafan kepada perjuangan mereka dalam keluarga, ekonomi dan masyarakat," katanya kepada Suara Keadilan.


Menurut beliau, majlis itu juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan masyarakat serta pengiktirafan terhadap peranan penting wanita dalam pembangunan negara.


Dalam majlis tersebut, lima wanita inspirasi turut diraikan atas sumbangan serta ketabahan mereka dalam kehidupan dan masyarakat.


Antara yang menerima penghargaan ialah Roziah Yem yang pernah berkhidmat sebagai anggota Tentera Darat dari tahun 1991 hingga 1997 sebelum meneruskan kerjaya di Majlis Daerah Tangkak.

Antara wanita diberi anugerah penghargaan
Antara wanita diberi anugerah penghargaan

Sebagai ibu tunggal kepada tujuh orang anak, beliau berjaya membesarkan anak-anaknya dengan penuh ketabahan sehingga sebahagian daripada mereka kini telah berkeluarga dan bekerja.


Turut menerima penghargaan ialah Norafizah Abdul Karim, seorang usahawan insurans yang berjaya mencapai jualan tahunan sehingga RM1 juta bersama AmGeneral Insurance serta menguruskan syarikat sendiri sejak tahun 2018.


Selain itu, Cenderalela Hosman turut diraikan atas kegigihannya mengusahakan perniagaan bakeri dari rumah sambil membesarkan enam orang anak.


Penghargaan juga diberikan kepada Selvi Karuppiah yang meneruskan perniagaan tradisi keluarga dalam pembuatan Putu Mayam di Taman Skudai yang telah diwarisi lebih 30 tahun, serta Jessie Chang See Choo yang mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam bidang pengurusan syarikat dan aktif dalam pembangunan komuniti serta keusahawanan wanita.


Dr Tamil Selvi berkata, usaha memperkasakan wanita perlu dilaksanakan melalui tindakan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.


"Memperkasa wanita bukan sekadar kata-kata, tetapi melalui tindakan yang memberi manfaat kepada kehidupan mereka.


"Wanita bukan sekadar penyokong perjuangan, tetapi juga penggerak ekonomi masyarakat," katanya.


Beliau turut memaklumkan bahawa Wanita KEADILAN Johor telah mengambil inisiatif membantu usahawan wanita melalui sumbangan peralatan perniagaan yang memudahkan urusan transaksi.


Menurutnya, Ketua Wanita Cabang KEADILAN Mersing, Fatimah Yusoff telah mengambil langkah membantu usahawan wanita dengan pemberian peranti Soundbox Bluetap, iaitu alat notifikasi pembayaran melalui platform Touch 'n Go eWallet.


"Peranti ini akan mengeluarkan notifikasi suara setiap kali pelanggan membuat bayaran sekali gus memaklumkan kepada peniaga bahawa transaksi telah berjaya diterima.


"Kemudahan ini membantu usahawan wanita menguruskan perniagaan dengan lebih teratur, cepat dan selamat dalam era transaksi tanpa tunai hari ini," katanya.


Tambah beliau, sebanyak 200 unit Soundbox Bluetap telah disumbangkan secara percuma kepada usahawan wanita KEADILAN yang menjalankan perniagaan.


"Walaupun kecil nilainya, kami percaya inisiatif ini mampu memberi semangat dan dorongan kepada mereka untuk terus mengembangkan perniagaan serta memperkukuh ekonomi keluarga.


"Demi Wanita KEADILAN Johor wanita bangkit, ekonomi rakyat diperkasa," katanya lagi.


Majlis tersebut merupakan hasil kerjasama Ketua Wanita Cabang dari beberapa kawasan di Johor iaitu Loh Siew Wei (Pulai), Dr Tamil Selvi Rajoo (Kota Tinggi), Nurul Farah Ain Jayus (Kulai), Sakunthla Naranasamy (Iskandar Puteri), Nadiah Rosli (Pontian), Noor Fatimah Yusoff (Mersing), Marlianah Ismail (Tanjung Piai) serta Nursyahzan Maizal (Tenggara).


Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengerusi MPN Johor, Ysahrudin Kusni; Pengarah Pilihan Raya MPN Johor, Khairil Adanan; Ketua Cabang Pontian, Haniff Hosman; serta Ketua Cabang Tanjung Piai, Sayfaul Ariffin Abdul Karim.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page