Isu rumah ibadat: Di mana aktivis hak asasi ketika isu memanas?
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 1 min read

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Danish Hairudin tampil mempersoalkan 'ketiadaan suara' beberapa individu pejuang hak asasi yang sebelum ini lantang bersuara dalam isu rumah ibadat yang sedang diperdebatkan.
Beliau berkata, dalam isu ketegangan kaum yang boleh menggugat keselamatan awam dan menjejaskan keselamatan rakyat, suara yang biasanya begitu lantang memperjuangkan hak asasi, tiba-tiba menjadi sunyi.
"Isu politik, mereka paling bising tetapi isu ketegangan kaum mereka paling senyap. Mana Ambiga? Mana Surendran? Mana Latheefa Koya?
"Suara-suara ini pernah terlibat di hari-hari awal isu yang sekarang sedang dibakar dahulu.
"Jangan lupa. Jangan baling batu sembunyi tangan sekarang apabila isu rumah-rumah ibadat ini sudah capai tahap didih," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kota Raja berkata, rakyat berhak mempersoalkan ke mana hilangnya suara moral yang selama ini sering mendakwa berdiri atas prinsip keadilan dan kemanusiaan.
Katanya, aktivis hak asasi manusia yang memperjuangkan isu kuil tempoh hari perlu bertanggungjawab hari ini apabila isu tersebut telah menjadi insiden yang mencederakan dan merosakkan harta benda.
"Adakah prinsip itu hanya muncul apabila isu tersebut boleh dipolitikkan untuk menyerang kerajaan?
"Jika benar komited kepada keadilan dan keharmonian masyarakat, keberanian bersuara seharusnya konsisten bukan hanya apabila ia selari dengan kepentingan politik tertentu," ujarnya lagi.
Isu rumah ibadat dan individu yang terlibat di belakangnya semakin panas apabila rumah seorang aktivis yang dikenali sebagai Cikgu Chandra di Taman Kinrara, Puchong didakwa diserang sekumpulan lelaki yang memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.
Pada pukul 3 pagi tadi pula sebanyak tiga kereta aktivis tersebut dilaporkan telah dibakar.




Comments