top of page

Had jawatan PM: Pembangkang mahu PM dua penggal tetapi tidak undi

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2h
  • 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan telah cuba melakukan yang terbaik untuk membawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan PM ke Parlimen, namun pindaan itu gagal diluluskan selepas tidak memperoleh majoriti dua pertiga anggota Dewan Rakyat yang diperlukan.


Ketua Penerangan KEADILAN Kedah, Datuk Romli Ishak (gambar) berkata, perkara itu agak menghairankan kerana pembangkang, khususnya Pas, sebelum ini merupakan pihak yang ‘lantang’ menuntut agar tempoh jawatan PM dihadkan ketika mereka bersama Pakatan Rakyat (PR).


"Tapi hari ini seorang pun tak mengundi untuk menyokong tempoh itu dihadkan.


"Jadi kita tak tahu apa agenda di sebalik itu. Bagi saya PMX (Datuk Seri Anwar) telah cuba yang terbaik (dengan) mengusahakannya untuk dibawa ke Parlimen untuk dipinda," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.


Mengulas lanjut, Romli berkata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa cadangan itu akan dibawa semula untuk dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang pada sesi Parlimen bulan Jun.


"Sebab ini melibatkan pindaan Perlembagaan, kita kena faham walaupun kita dapat 146, dia tak cukup dua (undi) untuk melayakkan dua pertiga.


"Apabila buat pindaan Perlembagaan, kena cukup dua pertiga. Pada saya itu bukan kegagalan kerajaan, kerajaan telah berusaha untuk mencadangkan sesuatu yang terbaik untuk sistem demokrasi dalam negara.


"Tapi yang sedihnya ialah pembangkang, kita menjangkakan pembangkang akan memberikan sokongan, sepatutnya pembangkang lagi suka untuk tempoh (jawatan PM dihadkan)," katanya lagi.


Pada 2 Mac lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan PM kepada maksimum 10 tahun gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat, sekali gus tidak dapat diluluskan.


Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas undian dijalankan sejurus tamat sesi perbahasan yang melibatkan 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.


Beliau berkata, jumlah sokongan yang diperoleh tidak memenuhi syarat majoriti dua pertiga seperti yang ditetapkan bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan.


Dalam sesi pengundian 32 Ahli Parlimen tidak hadir, tidak mengundi 44, bersetuju 146, kurang dua untuk melengkapkan majoriti 148. Sekiranya Ahli Parlimen Pas menyokong maka RUU tersebut boleh diluluskan tanpa masalah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page