top of page

Jadikan PRN persediaan hadapi PRU, pastikan kemenangan PH

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Jun 12
  • 2 min read

Jentera dan penyokong Pakatan Harapan (PH) diseru supaya terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang demi menjamin kestabilan kerajaan agar tidak diperkotak-katikkan bagi kesinambungan pembangunan negara.


Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar) berkata, rakyat perlu diberi kefahaman mengenai pentingnya demokrasi, perpaduan dan keyakinan bersama dalam menentukan masa depan negara.


"Kita mahu rakyat memahami apa itu demokrasi, apa itu kesatuan, apa itu perpaduan dan apa itu keyakinan bersama. Ini yang harus kita ajar kepada mereka," katanya ketika berucap pada satu pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Seremban malam ini.


Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin komponen PH.


Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, jentera parti tidak seharusnya berasa kecewa atau mengeluh, sebaliknya perlu memanfaatkan tempoh kempen untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai perjuangan dan aspirasi kerajaan.


"Kita punya masa yang cukup panjang untuk menyampaikan kepada masyarakat. Inilah peluang kita. Jangan kita mengeluh, jangan kita rasa gundah-gulana. Teruskan perjuangan kita," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak mudah digugat oleh percaturan politik.


"Kita inginkan satu kerajaan yang stabil. Kita mahu mereka memahami bahawa inilah perjuangan rakyat," katanya.


Dalam pada itu, Aminuddin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang sanggup menghadiri program berkenaan sejurus pulang daripada lawatan kerja ke Jepun.


"Walaupun kita tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim baru pulang dari Jepun, dengan keletihannya masih mampu hadir pada malam ini untuk menunjukkan keyakinan dan sokongannya kepada Pakatan Harapan Negeri Sembilan," katanya.


Menurut beliau, Anwar merupakan pemimpin yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dan berusaha membawa negara ke arah kemakmuran serta kesejahteraan.


"Inilah seorang tokoh yang sentiasa membawa Malaysia ke arah kemakmuran dan kesejahteraan. Pagi, petang memikirkan rakyat dan inilah yang harus kita pertahankan di Negeri Sembilan," katanya.


Aminuddin berkata, hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.


Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh jentera parti mempergiat usaha mendekati rakyat bukan sahaja bagi menghadapi pilihan raya semasa, malah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


"Kalau boleh menang... kita bekerja. Kita bekerja dan bekerja seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim lakukan. Kita sama-sama bekerja memastikan kemenangan dan kita hadiahkan kemenangan negeri ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page