MP Subang digesa kemuka bukti dakwaan tanah masih berstatus hutan simpan
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Ahli Parlimen (MP) Subang, Wong Chen digesa mengemukakan bukti berhubung dakwaan mengenai sebidang tanah yang dikaitkan dengan sebuah syarikat pemaju masih berstatus hutan simpan, telah dijual di bawah harga pasaran serta menerima kelulusan pembangunan.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin (gambar) berkata penjelasan rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 24 April lalu mengenai tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam, Kinrara sepatutnya telah “menjernihkan keadaan sebenar”.
"Fakta-fakta yang dikemukakan secara rasmi itu bercanggah dengan dakwaan-dakwaan yang telah dikatakan oleh Wong Chen kepada orang ramai, iaitu tanah tersebut masih berstatus hutan simpan dan dijual di bawah harga pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bryan, berdasarkan penjelasan Menteri Besar, tanah berkenaan bukan merupakan hutan simpan kerana telah dinyahwartakan sejak 1926, hampir 100 tahun lalu.
"Sejak itu, tanah tersebut tidak pernah digazetkan semula sebagai hutan simpan kekal," katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Petaling Jaya berkata, tanah berkenaan turut dinilai secara profesional oleh perunding hartanah bertauliah pada 2012 pada kadar RM13.02 sekaki persegi.
"Penjualan kemudiannya dilaksanakan melalui proses tender terbuka pada harga RM13.80 sekaki persegi iaitu melebihi harga pasaran, bukan sebaliknya," ujar Bryan Ng.
Bryan berkata kerajaan negeri menjelaskan bahawa tiada sebarang kelulusan pembangunan telah diberikan ke atas tanah tersebut.
"Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah mengesahkan keputusan Majlis Bandaraya Subang Jaya untuk tidak membenarkan sebarang pembangunan di tapak berkenaan, berasaskan keadaan cerun Kelas 3 dan Kelas 4 yang berbahaya," katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan asas dakwaan yang dibuat Wong Chen dan meminta beberapa bukti dikemukakan kepada umum.
"Apakah bukti yang dimiliki oleh Wong Chen bahawa tanah tersebut masih merupakan hutan simpan dan dijual di bawah harga pasaran?
"Di manakah laporan penilaian bebas yang dirujuk oleh Wong Chen dalam membuat dakwaan berkenaan?
"Di manakah bukti bahawa sebarang kelulusan permohonan pembangunan telah diberikan, sedangkan dua mahkamah tinggi telah memutuskan sebaliknya?" katanya.
Bryan berkata, kenyataan Wong Chen serta petisyen yang dikemukakan telah menimbulkan tanggapan awam bahawa pemaju memperoleh tanah tersebut melalui cara yang tidak wajar dan kerajaan negeri gagal bertindak telus.
Katanya, lebih 7,500 orang penduduk telah menandatangani petisyen tersebut berdasarkan dakwaan-dakwaan tersebut.
Menurut Bryan Ng lagi, pihaknya bersedia menawarkan bantuan guaman percuma kepada penandatangan petisyen itu sekiranya tindakan undang-undang difailkan.
"Sekiranya sebarang tindakan undang-undang difailkan terhadap anda berhubung petisyen ini, kami dengan ini menyatakan kesediaan untuk mewakili anda secara pro bono," katanya lagi.




Comments