top of page

MP Pas tarik balik tuduhan: Jangan biarkan ‘racunnya’ tinggal di fikiran rakyat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
58 minutes ago
2 min read


Penyelesaian secara baik kes saman antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen (MP) Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim di Mahkamah Tinggi dialu alukan.


Namun bagi Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar), penarikan balik saman oleh Perdana Menteri setakat ini hanya mampu memadamkan tohmahan kononnya Anwar bersikap zalim dan pendendam mahu menyaman musuh politiknya.


"Tindakan PMX menarik balik samannya (setakat ini) membuktikan tuduhan zalim dan pendendam terhadapnya adalah fitnah dan pembohongan," katanya dalam kenyataan.


Bagi Mahfuz persoalan masih wujud mengenai dakwaan Awang Solahuddin terhadap Anwar sebelum ini yang menyebaban beliau disaman.


Katanya, tanggungjawab seorang Ahli Parlimen terhadap rakyat apabila kenyataan yang dibuat ditarik balik perlu dilunaskan berupa membetulkan kenyataan tersebut.


"Saya berpandangan, YB Pendang wajar tampil kepada rakyat secara terbuka untuk menjelaskan perkara itu dan menyatakan kekesalan serta memohon maaf atas kenyataan meracuni pemikiran rakyat yang telah dibuat," ujarnya.


Beliau turut mengingatkan bahawa ahli Parlimen mempunyai ruang untuk mengkritik Perdana Menteri dan kerajaan, termasuk mempersoalkan dasar serta mendedahkan dakwaan salah laku jika mempunyai asas.


"Tetapi antara kritikan, tuduhan dan fitnah, ada garis yang mesti dihormati," tegasnya.


Mahfuz yang juga pemimpin AMANAH Kedah itu berkata, kenyataan politik yang ditarik balik tidak semestinya dapat menghapuskan persepsi yang telah terbentuk dalam kalangan masyarakat.


"Tarik balik tuduhan ok, tetapi jangan biarkan racunnya tinggal dalam fikiran rakyat," kata beliau.


Menurutnya, sesuatu tuduhan boleh tersebar dengan pantas melalui ceramah dan media sosial, namun pembetulan terhadap kenyataan berkenaan mungkin tidak sampai kepada jumlah penerima yang sama.


"Sebab itu saya berharap YB Pendang bukan sekadar menyelesaikan perkara ini dari sudut undang-undang, tetapi juga mengambil tanggungjawab moral kepada rakyat khususnya masyarakat Melayu Islam," katanya.


Mahfuz turut menggesa semua ahli politik supaya berani mengakui kesilapan sekiranya tersilap serta membantu membetulkan persepsi yang timbul akibat kenyataan yang telah ditarik balik.


Beliau juga mengingatkan pihak pembangkang supaya tidak menganggap sesuatu isu selesai hanya selepas kenyataan yang dipertikaikan ditarik balik.


"Rakyat bukan tong sampah untuk kita campakkan racun politik. Rakyat berhak mendapat politik yang matang, beradab dan berasaskan fakta," katanya.


Mahfuz berkata pembangkang sememangnya penting dalam sistem demokrasi, namun setiap tuduhan yang dibuat perlu disokong bukti dan pihak yang membuatnya perlu bersedia bertanggungjawab jika berlaku kesilapan.


"Pembangkang yang kuat bukan pembangkang yang paling banyak menuduh; pembangkang yang kuat ialah pembangkang yang mampu membuktikan setiap tuduhan yang dibuat dan berani bertanggungjawab apabila tersilap," katanya.


Anwar memfailkan saman pada 3 Mac 2023 berhubung kenyataan Awang Solahuddin di lobi Parlimen pada 21 Februari 2023.


Menurut pernyataan tuntutan Anwar, kenyataan tersebut membawa maksud bahawa beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, termasuk mencampuri atau memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan dan pendakwaan bagi tujuan politik peribadi. Anwar mendakwa kenyataan itu menjejaskan reputasinya.


Dalam penyelesaian secara baik dan muktamad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 September 2026 lalu Anwar setuju Awang Solahuddin menarik balik semua kenyataan yang dibuat pada atau sekitar 21 Februari 2023 yang menjadi asas kepada saman.


Awang Solahuddin juga bersetuju tidak mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan sama atau kenyataan yang membawa maksud serupa pada masa depan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page