Memorandum kerjasama (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Persekutuan sengaja disalah tanggapi dan disebarkan oleh sesetengah pihak kononnya menyebabkan PH tidak lagi menyuarakan isi hati rakyat.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, MoU tidak pernah mengurangkan serangan PH terhadap kelemahan polisi atau kelembapan pelaksanaan polisi kerajaan BN.
"Kebelakangan ini pertikaian MoU antara kerajaan bawah pimpinan Ismail Sabri dan PH dijadikan polemik, dan ada memilih untuk membuat serangan bertubi tubi. Dari itu saya fikir ada kewajaran untuk saya beri penjelasan.
"Pertama konteksnya adalah gesaan Yang di-Pertuan Agong supaya politik kita itu lebih menekan kepada penyelesaian masalah supaya tidak terlalu ganas pertelingkahannya (BN dan PH) mengakibatkan kezaliman, hukuman, pemenjaraan yang menjadi kelaziran puluhan tahun dalam negara kita. Kita jangan ketepikan ini.
"Politik diizinkan perbezaan pendapat. Tetapi tidak semestinya perbezaan itu harus menjadi alasan untuk kita melakukan keganasan, kekejaman dan kezaliman.
"Sebab itu dalam mukadimah MoU ditekankan, kerajaan dan PH bersetuju tiada apa sekali pun yang terkandung dalam MoU itu yang beri kesan terhadap hak dan tanggungjawab PH bagi memastikan kerajaan bertanggngjawab terhadap Parliman, termasuk integriti dan ketelusan dalam mengendalikan isu isu rakyat," katanya.
Oleh itu, kata Anwar PH sentiasa mengkritik kerajaan BN sejak termeterainya MoU sehinggalah sekarang dalam segala hal. Anwar juga mengingatkan, dalam isu kelemahan kerajaan menangani isu Covid 19 PH telah melakukan serangan terbuka, begitu juga dalam isu banjir. Nadma dikritik habis habisan.
"Dalam isu Covid, kalau perlu serang kita serang. Tetapi kalau disepakati maka kita sokong. Dalam isu banjir banyak yang saya serang, lembabnya Nadma, lembabnya tindakan yang menyebabkan nyawa diragut dan harta rakyat musnah kerana kesilapan awal.
"Tetapi kita juga menyatakan penghargaan kepada tentera, bomba dan sukarelawan puluhan ribu. Ini saya sebut di Parlimen. Bila ada singgungan sinis PM bahawa pembangkang tidak bekerja, itu kita serang balas dengan kuat. Lebih kuat daripada orang yang mengkritik MoU," katanya.
Malah menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, masih banyak perkara yang tidak dipersetujui PH walaupun telah berada dalam MoU.
"Apakah kita puas hati semua, tidak. Pelaksanaan ekonomi, banjir, SPRM? Belum. Ini kita luahkan dnegan kuat.
"Jadi saya fikir walau rakyat marah dan kesal, tetapi harus akui politik kita kian matang. Kita bermusuh dalam politik tetapi ada ruang kita boleh berunding dan kerjasama," katanya.
Sayugia itu, dalam isu banjir baru baru ini, tegas Anwar, PH telah mencadangkan moratorim pembalakan biar pun masih berada di dalam MoU. Sekiranya pembangkang telah menyebelahi kerajaan maka hal itu tidak akan dicadangkan.
"Sebab itu kita cadang moratorium balak, hentikan dulu membalak, jangan bagi lesen pembakalan baru. Jangan fikir balak haram - halal kalau kerajaan fikir hal fasad (kerosakan) terutama yang menyentuh kepentingan rakyat di bawah," katanya.
Dalam siaran media itu juga Anwar mengesa Menteri Dalam Negeri dan pasukan polis agar lebih demokratik serta tidak terlalu menekan penganjuran himpunan aman.
Beliau kesal, aktivis anak muda seperti Adam Adli disoal siasat hanya kerana mahu menyertai himpunan #TangkapAzamBaki. Katanya, bagi pemuda yang kental soal siasat tidak akan mengubah pendirian tetapi mereka akan jadi lebih berani. Tiba masanya kerajaan memberi sedikit kelonggaran.
Comentários