top of page

MOTAC tangani impak kenaikan diesel terhadap sektor pelancongan

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 5 days ago
  • 1 min read

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah diarahkan untuk memulakan segera sesi perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk merangka langkah bersasar menangani kesan kenaikan harga diesel.


Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perbincangan bertujuan menilai situasi semasa serta mempertimbangkan sokongan sementara bagi meredakan tekanan jangka pendek, termasuk faktor luaran seperti perkembangan di Asia Barat.


Tambahnya, langkah tersebut susulan maklum balas dari pemain industri yang berdepan peningkatan kos operasi sektor pengangkutan pelancongan.


"Perbincangan akan mempertimbangkan langkah-langkah bersasar termasuk sokongan bersifat sementara bagi membantu mengurangkan tekanan jangka pendek yang timbul, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh perkembangan di Asia Barat," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Tiong sementara itu menegaskan, sektor pengangkutan pelancongan sebagai tonggak industri perlu diperkukuh dari segi keselamatan, prestasi kenderaan dan mutu perkhidmatan.


Justeru kementeriannya akan memantau rapi impak kenaikan diesel yang berpotensi memberi kesan berantai kepada pelancongan masuk, perniagaan dan keseluruhan ekosistem industri.


"Objektif kerajaan bukan sekadar untuk meredakan kesan langsung yang dihadapi, tetapi untuk membina sistem pengangkutan pelancongan yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.


"Sebarang bentuk sokongan yang diperkenalkan akan dirangka dengan mengambil kira pembangunan jangka panjang industri, bukan sekadar penyelesaian sementara," tambahnya.


Menerusi hantaran tersebut, beliau turut menggesa pemain industri terus berhubung dengan kerajaan serta menyertai dialog secara rasional demi kestabilan sektor dan menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.


Beliau sementara itu juga menyeru semua pihak kekal tenang dan bertindak secara berhemah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page