top of page

MOT cadang wajibkan pesalah kemalangan maut bayar ganti rugi

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 5 days ago
  • 2 min read

Kerajaan MADANI bercadang untuk melaksana pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah kes kemalangan maut membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain menjalani hukuman penjara.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (gambar) berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha kerajaan untuk memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.


"Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah, kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad lalu, sebuah kereta dilapor memotong beberapa kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan.


Perlanggaran itu menyebabkan mangsa lelaki tempatan berumur 30-an tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia. Hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol serta dadah.


"MOT merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Amirul Hafiz Omar yang terbabit nahas tragis di Jalan Raya Barat, Klang, akibat pemandu berada bawah pengaruh alkohol serta dadah seperti yang dilaporkan media.


"Kehilangan ini amat menyayat hati dan insiden sebegini bukan saja meragut nyawa tidak berdosa, malah menjadi satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali," tambahnya.


Sementara itu, Loke berkata, bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.


Katanya, bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat boleh dikenakan iaitu penjara antara 15 hingga 20 tahun serta denda sehingga RM150,000.


"MOT turut menggesa polis menyegerakan siasatan kes ini secara menyeluruh agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan pendakwaan.


"Pada masa sama, MOT juga sedang merangka cadangan pindaan bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain hukuman penjara yang dikenakan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page