Mohammad Sabu rakam penghargaan kepada semua calon, jentera PH


Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berlangsung semalam.
Menerusi satu kenyataan malam tadi, Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua calon mewakili gabungan itu, para petugas, sukarelawan, penyokong serta seluruh jentera AMANAH, KEADILAN dan DAP yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.
Penghargaan turut juga diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan, pihak media dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses demokrasi berlangsung dengan lancar dan teratur.
"Keputusan pilihan raya ini kita hormati dengan hati yang terbuka. Perjuangan untuk membela rakyat tidak akan terhenti di sini.
"Kita akan terus bekerja, mendengar suara rakyat dan berusaha membawa perubahan yang lebih baik," katanya.
Menerusi kenyataan sama Mohamad turut menyeru seluruh jentera dan penyokong PH perlu terus mengekalkan semangat perjuangan, memperkemaskan gerak kerja serta memperkukuh perpaduan sebagai persediaan menghadapi cabaran politik dan khidmat kepada rakyat pada masa hadapan.
Beliau menyatakan keyakinan dengan dengan usaha yang berterusan serta sokongan rakyat, PH mampu melangkah lebih jauh dalam memperjuangkan agenda reformasi dan kebajikan rakyat.
"Insya-Allah, dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan sokongan rakyat, kita akan melangkah lebih jauh," katanya.




Comments