top of page

Misi bantuan Gaza: Amirudin mampu runding dengan negara terbabit - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 1 min read

Pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 adalah bertujuan untuk memastikan semua urusan dengan kerajaan negara terbabit dengan misi itu berjalan lancar.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, dalam misi penghantaran bantuan berskala besar itu, wujud keperluan untuk pihak Malaysia melakukan perundingan dengan pelbagai pihak terutama kerajaan Mesir dan Qatar.


"Saya memang telah ambil keputusan tidak menghantar mana-mana wakil, namun kerana ia melibatkan kontena besar serta rundingan dengan kerajaan Mesir dan pihak Qatar, saya perlu minta seorang wakil kerajaan untuk memudahkan urusan," katanya dipetik di Ipoh pada Sabtu.


Misi kemanusiaan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu akan membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan, bagi membantu rakyat Palestin yang berdepan situasi semakin meruncing di Gaza.


Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor bersama Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 dijadual berangkat memulakan misi tersebut hari ini.


Selain memastikan semua urusan penghantaran dapat dilaksana dengan lancar, Amirudin turut dijadualkan mengetuai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu kepungan Gaza.


Beliau seterusnya akan memantau pelepasan delegasi Sumud Nusantara 2.0 disertai lebih 80 negara seluruh dunia di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page