Misi Bantuan Aceh: Mangsa banjir, tanah longsor terima 120 tan barangan
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 1 min read

Misi bantuan kemanusiaan melibatkan gabungan pelbagai pertubuhan dari Malaysia berjaya dilaksanakan apabila sebanyak empat kontena kargo berjumlah kira-kira 120 tan barangan diserahkan kepada mangsa bencana banjir dan tanah longsor di Aceh yang berlaku pada Disember 2025 lalu.
Misi di bawah pasukan Solidariti Serumpun Ummah (SSU) itu melibatkan kerjasama erat antara badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta individu perseorangan yang tampil menyumbang bagi meringankan beban mangsa terjejas.
Menurut kenyataan SSU, usaha mengumpul sumbangan dilaksanakan secara bersepadu merentasi pelbagai peringkat termasuk agensi seperti Jabatan Perdana Menteri (JPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak keselamatan serta Kedutaan Malaysia di Medan.

"Penyerahan bantuan ini menjadi simbol solidariti antara rakyat Malaysia dan Aceh, yang terjalin melalui hubungan kemanusiaan dan keprihatinan sejagat," kata Pengerusi SSU Kapten (B) Zulkefly Othman.
Antara pihak yang terlibat ialah Ummah Aid Foundation, Yayasan Kasih Tauhid, Pertubuhan Kebajikan Pahlawan Malaysia, Gabungan Reformis Malaysia serta rakan strategik di Indonesia iaitu Yayasan Aceh Meugah Sejahtera.
Turut menyokong ialah komuniti masyarakat di pelbagai negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Keseluruhan operasi turut mendapat sokongan logistik dan tenaga kerja daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, sukarelawan serta pengamal media yang turun padang menjayakan misi berkenaan.
SSU merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan misi bantuan tersebut termasuk jentera operasi dan sukarelawan yang terlibat dalam Ops Jiwa Murni.
"Sesungguhnya usaha ini adalah amanah besar yang digalas bersama, dan kami bersyukur kerana diberi peluang untuk menabur bakti kepada saudara serumpun yang diuji dengan musibah," kata Zulkefly.




Comments