top of page

Kempen tangkap Rohingya: Urus isu pelarian seimbang, antara keselamatan, kemanusiaan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Jun 13
  • 2 min read

Isu pelarian Rohingya di negara ini perlu diurus secara seimbang dengan mengambil kira aspek keselamatan serta prinsip kemanusiaan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, pelarian tidak boleh disamakan dengan pendatang asing tanpa izin kerana kedua-duanya berada dalam kategori berbeza dari segi status dan faktor kemasukan ke negara ini.


"Pelarian tidak sama dengan pendatang asing. Pendatang asing masuk tanpa dokumen ataupun tinggal di sini secara tidak sah. Kita ada Akta Imigresen untuk menguruskan mereka.


"Pelarian pula berada dalam kategori yang berbeza kerana terdapat konflik di negara asal mereka. Ada push factor di negara asal dan ada pull factor di negara kita," katanya dalam sidang media pada Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di Johor.


Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas pertanyaan wartawan mengenai 'kempen tangkap Rohingya' yang sedang tular di media sosial.


Menurut Saifuddin, dalam konteks pengurusan pelarian dari Myanmar tersebut, UNHCR bertanggungjawab mendaftarkan pelarian serta mengurus penempatan mereka ke negara ketiga.


"Tugas UNHCR ada dua. Pertama, mendaftarkan pelarian. Kedua, menempatkan mereka ke negara ketiga.


"Sementara menunggu penempatan ke negara ketiga, mereka diberikan kad UNHCR. Masalahnya, kejayaan menempatkan mereka ke negara ketiga jauh lebih kecil berbanding jumlah kad yang dikeluarkan oleh UNHCR," ujarnya.


Keadaan itu menyebabkan pelarian terus berada dalam komuniti tempatan sementara menunggu penempatan semula, sekali gus menjadi antara cabaran utama yang dihadapi negara ketika ini.


Saifuddin berkata, kerajaan kini sedang melaksanakan proses pengumpulan data sendiri bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan undang-undang terhadap golongan tersebut.


Beliau menegaskan bahawa walaupun pelarian perlu dilayan berasaskan prinsip kemanusiaan, mereka tetap tertakluk kepada undang-undang negara.


"Mereka juga tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan jika berlaku pelanggaran undang-undang," ujarnya.


Mengulas persepsi awam, beliau menolak dakwaan bahawa isu kebanjiran pelarian hanya berlaku dalam tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI.


"Ini adalah isu legasi yang telah berlaku sejak sekian lama.


"Perbuatan melonggokkan semua kesalahan kepada government of the day adalah tidak wajar pada saya."


Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat untuk memberikan pandangan dan cadangan yang konstruktif dalam menangani isu tersebut.


"Masyarakat berhak tampil dengan cadangan yang konstruktif, kerajaan sentiasa bersedia mempertimbangkannya," katanya lagi.

1 Comment


Ken Ken
Ken Ken
Jun 13

Pernah kita kumpulkan pelarian Vietnam di Pulau Bidong dan UNHCR yang uruskan. Semua dapat dipindahkan ke negara2 lain dan ada juga yang kembali ke Vietnam. ELok juga kita kumpulkan semua pelarian yang ada sekarang di Pulau Bidong. Pelarian2 ini sudah terlalu ramai. Biar UNHCR uruskan.


Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page