Letak jawatan MPP 'pengkhianatan mandat': Chean Chung patut berjuang dari dalam
- Suara Keadilan

- Jun 13
- 2 min read

Tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung meletakkan jawatan daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN disifatkan sebagai satu pengkhianatan terhadap mandat anggota parti.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin (gambar) berkata, keputusan itu bukan sahaja tidak berprinsip malah menjejaskan suara serta pengaruh politik Cabang Petaling Jaya dalam parti.
"Ia merupakan pengkhianatan terhadap mandat 4,416 anggota parti yang telah mengundi beliau serta satu tindakan yang mengurangkan suara dan pengaruh politik Petaling Jaya dalam parti pemerintah," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tindakan tersebut juga tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
"Apakah manfaat yang diperoleh rakyat Petaling Jaya daripada tindakan ini? Jawapannya mudah, tiada."
Bryan Ng turut mempersoalkan alasan Chean Chung yang mendakwa suaranya tidak didengari dalam parti. Sedangkan, katanya, rekod kehadiran mesyuarat menunjukkan Ahli Parlimen itu gagal menghadiri walau satu mesyuarat MPP pun sejak November 2025.
Ahli Majlis Petaling Jaya itu menegaskan, pemimpin yang bertanggungjawab seharusnya mempertahankan pendirian dalam platform dalaman parti seperti mesyuarat MPP, bukannya menyuarakan keresahan melalui media sosial.
"Pemimpin yang bertanggungjawab kekal di meja rundingan walaupun berbeza pandangan," jelasnya.
Mengulas isu akses sistem MyKhas yang ditimbulkan Chean Chung, beliau berkata tindak balas Ahli Parlimen itu bukanlah memperjuangkan isu tersebut dari dalam parti dan kerajaan, sebaliknya memilih untuk meninggalkan platform kepimpinan yang memberinya ruang untuk mempengaruhi keputusan.
"Hakikatnya, rakyat Petaling Jaya tidak pernah dihukum. ICU JPM telah menjelaskan bahawa dana MyKhas adalah peruntukan khas di bawah seliaan Perdana Menteri dan rakyat, persatuan penduduk serta NGO masih boleh mengemukakan permohonan secara terus melalui saluran yang disediakan. Yang hilang bukan bantuan kepada rakyat, tetapi pengaruh dan kedudukan politik Chean Chung sendiri," katanya.
Menurut Bryan Ng lagi, hal yang berlaku sekarang ini bukan soal prinsip tetapi ketidakupayaan menerima keputusan demokratik dalam pemilihan parti.
"Apabila kalah pemilihan dan gagal mendapat sokongan akar umbi, kumpulan ini memilih untuk menjauhkan diri daripada proses dalaman, menyerang kepimpinan parti dan akhirnya meletakkan jawatan.
"Rakyat masih ingat bagaimana Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad memilih untuk meletakkan jawatan Kabinet selepas tewas dalam pemilihan parti. Persoalannya, tindakan itu memberi manfaat kepada siapa?" tanyanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepimpinan sebenar diuji ketika berdepan tekanan dan cabaran, bukannya ketika berada dalam keadaan selesa.
Ujarnya, ketika negara sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi global, tekanan tarif antarabangsa, cabaran kos sara hidup dan pelbagai agenda reformasi yang sedang berjalan, mereka memilih untuk meninggalkan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat.
Ketika Rancangan Malaysia Ke-13 sedang dirangka, dan pelbagai dasar ekonomi memerlukan kesinambungan serta kestabilan, mereka memilih untuk berundur, katanya.
"Adakah tindakan itu membantu rakyat? Adakah ekonomi negara menjadi lebih baik? Adakah reformasi menjadi lebih mudah dilaksanakan? Jawapannya jelas tidak."
Kata Pengerusi Biro Undang-undang dan Aduan KEADILAN Selangor itu, manfaat yang mereka dapat hanyalah agenda politik peribadi manakala rakyat dan kerajaan terpaksa menanggung kesan ketidaktentuan yang terjadi.
"Kini Chean Chung dilihat mengulangi skrip sama. Apabila keadaan tidak memihak kepada dirinya, jalan yang dipilih bukanlah bekerja lebih keras atau berjuang dari dalam sistem tetapi meninggalkan kedudukan yang diberikan kepadanya.
"Kepimpinan bukan diukur ketika keadaan selesa. Kepimpinan diuji ketika berdepan tekanan, perbezaan pandangan dan keputusan yang tidak memihak kepada diri sendiri. Pemimpin yang bertanggungjawab akan terus berjuang dari dalam," katanya.
Tegas Bryan Ng, mengelak daripada tanggungjawab bukanlah keberanian sebaliknya kegagalan memikul amanah yang telah diberikan oleh anggota parti dan rakyat Petaling Jaya.




Comments