top of page

Melayu terancam: 'Orang Melayu kuat tidak takut dengan jirannya'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 13
  • 2 min read

Oleh: Sandy Zaliu


Naratif bahawa orang Melayu dan Islam sentiasa berada dalam keadaan terancam perlu dihentikan kerana hak-hak tersebut telah dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Cabang KEADILAN Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar).


Menurut beliau, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan majoriti rakyat beragama Islam serta masyarakat berbilang kaum yang hidup bersama di bawah satu Perlembagaan dan satu identiti kebangsaan.


Malangnya, kata beliau, setiap kali musim pilihanraya tiba rakyat sering dihidangkan dengan naratif bahawa Melayu perlu mempertahankan Melayu, dan Islam perlu mempertahankan Islam seolah-olah hak-hak tersebut sedang terancam.


"Hak Melayu bukan sesuatu yang rapuh. Islam kekal sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan institusi Raja-Raja Melayu terus dipelihara serta dihormati," katanya.


Justeru, beliau menegaskan bahawa perhatian rakyat seharusnya tertumpu kepada isu yang lebih mendesak seperti pendidikan anak-anak, peluang ekonomi, peningkatan pendapatan dan masa depan generasi akan datang.


Mengulas mengenai hubungan antara kaum, Shamsul berkata, Islam mengajar umatnya untuk saling mengenali dan hidup bersama dalam suasana hormat-menghormati.


Beliau merujuk firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 yang menyeru manusia untuk saling mengenali antara satu sama lain meskipun berbeza bangsa dan keturunan.


"Orang Melayu yang kuat bukan orang Melayu yang takut dengan jirannya. Melayu yang kuat ialah Melayu yang mengenali identitinya, memahami haknya dan mampu berinteraksi dengan sesiapa sahaja tanpa rasa terancam," ujarnya.


Menurut beliau lagi, keyakinan terhadap identiti sendiri adalah asas kepada pembinaan sesebuah masyarakat yang matang dan bersedia memimpin negara yang berbilang kaum.


"Saya Melayu dan saya Islam. Sebab itu saya boleh berdiri teguh dalam negara yang berbilang kaum ini. Bukan kerana takut, tetapi kerana yakin," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa memilih antara kaum, sebaliknya perlu bersama-sama memilih masa depan yang lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia.


"Melayu yang selamat akan melahirkan Malaysia yang selamat. Kita bukan memilih antara kaum. Kita memilih masa depan untuk semua," kata beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page