'Minyak Malaysia lalu Selat Hormuz, bukan 'Selat Marang''
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Kenyataan Exco Terengganu yang mempertikai Malaysia mengimport minyak melalui Selat Hormuz kerana negara juga mengeluarkan produk petroleum menyerlahkan ketidakfahaman pemimpin pembangkang berkaitan kenaikan harga minyak global.
Aktivitis Pakatan Harapan, Syam Ghaz membidas hujah Dr Azman Ibrahim bahawa "minyak Malaysia tidak lalu Selat Hormuz" dengan nada sinis, menyifatkan ia tidak selari dengan realiti bekalan bahan api negara.
"'Kartun' la Exco Pas Terengganu. Jadi 50% minyak yang Malaysia import dari Timur Tengah tu lalu kot (ikut) ‘Selat Marang’ ke?" sindirnya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu Azman mempertahankan Presiden Pas, Hj Hadi Awang bahawa kenaikan harga minyak tidak sepatutnya berlaku kerana negara ini ada produk minyak sendiri terutama di Terengganu.
"Kenapa nak tunggu kapal tangki lepas lalu Selat Hormuz baru nak turunkan harga minyak? Saya ulang! Minyak kita tak lalu Selat Hormuz!"

Sehubungan itu, Syam Ghaz mempersoalkan asas nasihat yang diterima pimpinan Pas dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan isu minyak.
Katanya, jika pendapat seperti Exco Terengganu itu disampaikan kepada Hj Hadi maka hal itu menjadi 'punahsihat' kepada pemimpin utama Pas berkenaan dalam mengeluarkan kenyataannya.
Menurut Syam Ghaz yang pernah menerajui gerakan 'R' untuk royalti minyak Kelantan dan Terengganu sedekad lalu, walaupun Malaysia mempunyai pelantar minyak sendiri namun sebahagian besar pengeluaran adalah untuk eksport manakala keperluan domestik masih bergantung kepada import.
"Malaysia memang ada pelantar minyak, dan dari pelantar hantar ke loji proses di Kerteh memang guna paip, tapi minyak kita untuk eksport," ujarnya.
Merujuk kepada data Jabatan Perangkaan, beliau menegaskan kebergantungan Malaysia kepada import masih tinggi.
"Malaysia mengimport hampir 50% daripada jumlah minyak yang digunakan untuk keperluan domestik," ujarnya.
Tambah beliau, sumber import utama dari Timur Tengah secara realitinya melalui laluan strategik global termasuk Selat Hormuz.
"Data suku keempat 2025 jelas menunjukkan import minyak mentah Malaysia banyak datang dari Arab Saudi dan UAE, yang sememangnya menggunakan laluan termasuk Selat Hormuz."
Beliau berkata kenyataan tidak berasaskan fakta seperti dikatakan Exco Terengganu itu boleh mengelirukan rakyat.
"Susah bila orang tiba-tiba nak jadi pakar minyak. Isu tenaga bukan benda main-main," kata beliau lagi.




Comments