top of page

BKJ: Rakyat mahu serahan atas talian, bukan tambah kaunter

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Kenyataan panjang lebar Menteri Besar (MB) Johor dalam akaun Facebook beliau untuk meningkatkan kecekapan agihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) tetap mendapat kritikan pemimpin Pakatan Harapan.


Bagi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, jawapan MB Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak melegakan penerima kerana banyak pihak sebelum ini mahu agar BKJ dilaksanakan secara atas talian demi memudahkan penerima bantuan.


Ketuanya, Faezuddin Puad berpendapat, kaedah yang dilaksanakan sekarang secara serahan tangan dari wakil rakyat atau pimpinan kawasan dilihat kurang sesuai, khususnya kepada warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang terpaksa beratur panjang untuk menerima bantuan.


"Kalau tanya pendapat kita, kita minta beliau (Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz) agar selarikan (kaedah penyaluran bantuan) itu dengan perkembangan teknologi semasa.


"Biarlah buat pakai ‘transfer’ (terus disalurkan ke akaun bank). Contohnya seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang terus masuk dalam akaun bank.

Faezuddin Puad
Faezuddin Puad

"Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula (disalurkan) menerusi kad pengenalan. Jadi kaedah itu dilihat lebih memudahkan.


"Saya harap, kaedah penyaluran itu dipertimbangkan semula agar dibuat secara digital," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.


Onn Hafiz dalam satu hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, tempoh penyerahan BKJ Fasa 4 dilanjutkan sehingga 28 Jun 2026 bagi memberi lebih ruang dan masa kepada penerima.


Katanya, jumlah kaunter juga akan ditambah mengikut nisbah penerima di setiap lokasi. Bagi lokasi yang melibatkan lebih 3,000 penerima, sekurang-sukarangnya 35 kaunter semakan dan 35 kaunter bayaran akan disediakan.


Manakala bagi lokasi yang melibatkan 2,000 penerima ke bawah, sekurang-kurangnya 10 kaunter semakan dan 10 kaunter bayaran akan disediakan.


Pada masa sama, kaunter aduan dan pertanyaan juga bakal disediakan.


Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan BKJ Fasa Keempat bagi meneliti dan menambah baik proses penyerahan bantuan kepada penerima, khususnya bagi kategori yang melibatkan jumlah penerima yang besar seperti warga emas dan suri rumah.


Sebelum ini, cara penyerahan BKJ dikritik hebat oleh pemimpin Pakatan Harapan Johor kerana seolah olah sengaja untuk memperkenalkan para pemimpin UMNO-BN negeri itu menjelang Pilihan Raya Negeri yang dikatakan akan diadakan pada bila bila masa daripada sekarang.


Bagaimanapun, cara penyerahan seumpama itu menyebabkan warga emas dan OKU mengalami kesukaran kerana terpaksa berulang jauh dan beratur panjang di tempat serahan, berbanding bantuan yang dikredit terus ke akaun penerima sebagaimana dilakukan Kerajaan Persekutuan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page