top of page

Bina Hospital PJ beri manfaat penduduk Petaling, tingkat kualiti kesihatan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Cadangan pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya di kawasan DUN Taman Medan disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh akses kesihatan awam untuk penduduk di bandar raya itu dan kawasan sekitarnya yang kian padat.


Penyelaras DUN Taman Medan, Halimey Abu Bakar (gambar) berkata, beliau menyambut baik pemakluman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung cadangan lokasi tapak hospital berkenaan yang dicadangkan berada di kawasan DUN Taman Medan.


“Cadangan pembinaan hospital awam ini merupakan satu berita yang amat positif dan penting buat penduduk Petaling Jaya serta kawasan sekitarnya yang sememangnya memerlukan akses kesihatan awam yang lebih menyeluruh, moden dan berkualiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Halimey turut menyambut baik komitmen Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan urusan berkaitan tanah dapat disegerakan demi merealisasikan projek berkenaan.


Beliau berkata kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting bagi memastikan pembangunan fasiliti kesihatan untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.


Beliau percaya pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya itu bakal memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya dalam aspek kemudahan rawatan, pengurangan kesesakan hospital sedia ada serta meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan awam di Petaling Jaya dan kawasan sekitarnya.


Terdahulu Amirudin dalam kenyataan berasingan berkata, Kerajaan Negeri Selangor menyambut positif persetujuan lokasi tapak yang dicadangkan bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya susulan mesyuarat penyelarasan terkini pada 14 Mei lalu melibatkan agensi Persekutuan, Negeri dan pihak berkuasa tempatan.


Menurut beliau, usaha mencari tapak hospital awam di Petaling Jaya telah digerakkan secara aktif sejak 2018 dengan mengambil kira peningkatan jumlah penduduk di Daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta orang, termasuk lebih 800,000 penduduk di Petaling Jaya sahaja.


Beliau berkata, ketika ini penduduk sekitar Daerah Petaling bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi mendapatkan rawatan kesihatan awam.


“Lokasi tapak Hospital Petaling Jaya yang diterima oleh Kementerian Kesihatan amat bertepatan dengan keperluan penduduk Petaling Jaya, terutamanya dari segi akses, kapasiti, kos tanah dan jarak berdekatan dengan penduduk tempatan,” katanya.


Amirudin berkata, hospital berkapasiti 500 katil itu dijangka dibangunkan menggunakan konsep vertikal seperti Hospital Ampang bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan kos pembinaan.


Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga bersedia memudah cara dan mempercepatkan urusan tanah supaya projek pembinaan Hospital Petaling Jaya dapat memberi manfaat kepada penduduk Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page