Mesyuarat MMK Negeri Sembilan tidak bincang bubar DUN
- Suara Keadilan

- Jun 4
- 1 min read

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan yang diadakan semalam tidak membincangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hanya membincangkan berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.
"Tiada langsung bincang hal pilihan raya. Saya fikir perkara itu (pilihan raya) terpulang kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (Tuanku Muhriz Tuanku Munawir)," katanya dipetik.
Penjelasan Arul Kumar disokong penjelasan sama oleh Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.
Menurut Moorzunita, mesyuarat yang berlangung memberikan perhatian berkaitan hal ehwal pentadbiran.
"Mesyuarat MMK hari ini sama seperti mesyuarat sebelum ini berkaitan pentadbiran, menyemak mana-mana paper yang perlu diluluskan, tiada perkara berkaitan pilihan raya dibincangkan," jelasnya.
Terdahulu, spekulasi berkaitan PRN Negeri Sembilan bertiup kencang selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan kelmarin.
Spekulasi bertambah kuat apabila berlangusng pertemuan antara Aminuddin dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di Seremban pagi semalam.
Bagaimanapun Aminuddin ketika ditemui pemberita menjelaskan, pertemuan tersebut adalah rutin dilakukan beliau pada setiap Rabu sebelum mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.




Comments