top of page

Merdeka: Bina Semula Negara, Jauhi Politikus Elit


Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Hari ini, Hari Kebangsaan. Hari kita menyambut Kemerdekaan negara yang ke-64 tahun.


Melalui kaca TV RTM dan Astro Awani, aku melihat sambutan perayaan Hari Kebangsaan yang dibuat secara sederhana kerana wabak penyakit Covid-19.


Aku turut bersimpati terhadap Perdana Menteri baru, Ismail Sabri Yaakob dan isterinya terpaksa hadir dalam sambutan perayaan tersebut secara maya atau atas talian atas sebab yang sama kerana sedang menjalani kurantin kendiri di rumah.


Suasana perayaan Hari Kemerdekaan tahun ini agak suram tidak seperti lazimnya.


Tetapi semangatku kembali membara dan sentimen patrotisme muncul menyala apabila kemudian aku menyaksikan melalui kaca TV pertunjukan hebat penerbangan pesawat-pesawat tempur TUDM yang moden dan canggih berlegar-legar mendaki dan menjunam, mengiring dan berpusing-pusing seperti burung rajawali bermaharajalela di ruang angkasa Dataran Pahlawan di Putrajaya. Rasa bangga dan yakin diri bahawa setiap inci tanah dan laut Malaysia tercinta ini akan dipertahankan kedaulatannya oleh angkatan bersenjata dan pertahanan kita.


Detik 31 Ogos 1970


Nostalgia datang secara flashback. Aku teringat semula suatu detik pada 31 Ogos 1970 di mana aku sebagai seorang pelajar kolej turut berbaris dalam perarakan raksaksa Hari kebangsaan di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur, setahun selepas peristiwa berdarah rusuhan kaum 13 Mei 1969. Dengan segak dan kemas bersama kontinjen Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya, aku menapak dan melangkah gagah di jalan raya di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di hadapan Dataran Merdeka (dulu dipanggil Padang Kelab Selangor). 51 tahun telah berlalu dari saat tersebut.


Sebagai rakyat biasa Malaysia, aku juga ada harapan dan impian terhadap masa depan dan masa kini tanahairku. Esok lusa, aku akan mati juga, akhirnya. Tetapi aku juga akan meninggalkan legasi. Anak dan cucu-cucuku akan meneruskan kehidupan bermasyarakat dan bernegara di bumi Malaysia yang indah ini. Jadi tidak salah rasanya, jika aku menzahirkan impian dan harapanku sebagai manusia biasa dan warganegara bumi tiga serangkai: Semenanjung, Sabah dan Sarawak ini.


Perlu dijelaskan siapakah aku? Aku seorang Melayu, seorang Islam, seorang warganegara bumi yang dipanggil Malaysia ini. Lebih penting dari itu, aku adalah saudara bagi semua umat manusia.


Berpijak di bumi nyata, walaupun yang menjadi Perdana Menteri ke-9 sekarang ini dan Jemaah Kabinet Kerajaannya dari Barisan Nasional dan Perikatan Nasional adalah orang-orang yang aku kenal secara peribadi, sesetengahnya sebagai kawan dan sahabat tetapi aku agak sedih bercampur pesimis terhadap masa depan negara ini di bawah kepimpinan mereka. Tidak salah rasanya aku menzahirkan sikapku secara jujur dan berterus terang.


Politik elit kuasai negara


Politik elit yang sedang berkuasa sekarang ini, yang merupakan lanjutan dari pemerintahan Perdana Menteri ke-8 sejak 1 Mac 2020 membawa jenama politik dan ideologi yang sempit dan eksklusif atas nama kaum dan agama.


Aku melihat perkembangan ini, sebagai suatu perkembangan yang negatif, regresif dan undur ke belakang. Jenama politik yang dibawa oleh regim berkuasa sekarang berada di atas landasan politik dan ideologi yang salah yang hanya akan membawa kebekuan, stagnasi, pengasingan diri dan marginalisasi sebahagian besar warganegara rakyat dan suku kaum tertentu di kalangan minoriti terutamanya.


Aku mungkin telah hampir sampai ke hujung usia yang cuba membantu sedikit sebanyak usaha pembinaan sebuah negara bangsa yang terdiri rakyatnya pelbagai kaum, pelbagai agama, budaya dan bahasa. Aku amat percaya ciri-ciri kepelbagaian yang ada di tanahair kita ini adalah satu kekuatan, satu anugerah Tuhan, Maha Pencipta, Allah yang berkuasa.


Bina semula negara


Sampai ke hari ini, aku masih teguh percaya ramuan resepi iaitu bersatu di dalam kepelbagaian ini adalah formula yang ampuh dan kuat untuk membina landasan politik dan ideologi yang betul bagi membangunkan Malaysia untuk bergerak ke hadapan menjadi sebuah negara moden, progresif, demokratik dan adil.


Di Hari Kemerdekaan ini, aku berjanji pada diri sendiri untuk terus gigih membina semula kekuatan politik rakyat yang mendukung perjuangan adil untuk rakyat semua kaum dan agama.


Ekspremen selama 22 bulan bermula dari Pilihanraya Umum Ke-19, Mei 2018 yang menemui kegagalan di pertengahan jalan telah memberi pengajaran serta teladan yang amat bermakna kepada para pejuang reformasi sebenar supaya kembali bersatu, kembali mengumpulkan kekuatan dan azam untuk memenangi Pilihanraya Umum ke-15 tidak lama lagi. Dari sana nanti kita bina semula Malaysia tercinta.


__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page