top of page

Menuju 30% pembuat dasar: Kepimpinan wanita perkukuh negara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Pimpinan Wanita KEADILAN bertekad meneruskan perjuangan meningkatkan wanita dalam pembuat keputusan
Pimpinan Wanita KEADILAN bertekad meneruskan perjuangan meningkatkan wanita dalam pembuat keputusan

Pemerkasaan wanita merupakan elemen penting dalam memperkukuh pembangunan negara dan sistem demokrasi.


Bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini, Wanita KEADILAN Pusat mengangkat tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, yang menekankan kepentingan penyertaan wanita dalam kepimpinan serta proses pembuatan dasar di semua peringkat.


Ketua Penerangan Wanita KEADILAN, Datuk Ginie Lim, berkata Malaysia sebenarnya telah menunjukkan komitmen terhadap kesaksamaan gender melalui pelbagai dasar dan perjanjian antarabangsa, termasuk Deklarasi Beijing, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) serta Dasar Wanita Negara 2009.

Datuk Ginie Lim
Datuk Ginie Lim

Namun menurut beliau, tahap representasi wanita dalam politik dan pentadbiran negara masih belum mencapai sasaran yang diharapkan.


"Representasi semasa masih rendah. Wanita hanya merangkumi 13.5 peratus Ahli Parlimen, 12.0 peratus Ahli Dewan Undangan Negeri dan 20 peratus Senator; sementara di peringkat eksekutif, wanita mengisi sekitar 14 peratus Menteri dan 18 peratus Timbalan Menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.


Manakala kedudukan Malaysia berada di tangga ke-128 daripada 148 negara dalam sub-indeks Pemerkasaan Politik Laporan Jurang Gender Global 2025.


Menurut Ginie, sejarah telah membuktikan bahawa kepimpinan wanita mampu membawa perubahan besar dalam negara, termasuk melalui tokoh seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pernah mencipta sejarah sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia.


"Kejayaan pemimpin wanita dalam pelbagai sektor membuktikan bahawa wanita memiliki kapasiti intelektual, integriti dan visi strategik yang amat penting untuk kemajuan negara," ujar beliau.


Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama memperkukuh usaha memartabatkan wanita sebagai tunjang pembangunan negara.


"Pemerkasaan wanita bukan sekadar agenda gender, tetapi keperluan asas pembangunan negara. Hanya dengan memastikan kesaksamaan dan peluang yang adil, Malaysia mampu melangkah ke hadapan sebagai negara yang maju, inklusif dan sejahtera," katanya.


Wanita KEADILAN turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan agenda Reformasi dan memastikan lebih ramai wanita tampil sebagai pemimpin yang berani membawa perubahan demi kesejahteraan rakyat.


"Hanya dengan memastikan kesaksamaan dan peluang yang adil, Malaysia mampu melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang maju, inklusif dan sejahtera," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page