Menteri Israel 'beribadah' hina al Aqsa, PBB perlu bertindak
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tindakan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir yang secara terang-terangan menceroboh dan melakukan ritual Talmudik, nyanyian dan tarian dalam kawasan Masjid Al-Aqsa di bawah perlindungan ketat polis, dikecam keras Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Pengarahnya, Dr Maszlee Malik yang menyelar insiden itu menyifatkan ia sebagai satu peningkatan provokasi politik dan keagamaan yang tidak boleh diterima sama sekali.
Katanya, pencerobohan tersebut merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan norma kemanusiaan.
''Ia juga merupakan cubaan untuk mengubah status sejarah dan perundangan Masjid Al-Aqsa.
''Ini merupakan kali pertama seorang Menteri Israel yang sedang berkhidmat, secara terang-terangan mengetuai kempen pencerobohan ke kawasan suci tersebut,'' tempelak beliau dalam satu kenyataan.
Tambah Dr Maszlee, pencerobohan oleh Ben-Gvir dengan perlindungan polis merupakan pelanggaran terhadap perlindungan dan boleh dianggap sebagai jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan.
Ini kerana katanya, ia adalah sebahagian daripada dasar yang lebih besar yang menyasarkan hak agama dan budaya rakyat Palestin.
''Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah menganggap tindakan ini sebagai satu usaha berterusan untuk menulis semula sejarah dan menuntut kawalan secara de facto ke atas tapak suci tersebut.
''Jadi kami menyeru Kerajaan Malaysia agar mengutuk secara terbuka dan tegas tindakan Ben-Gvir serta mendesak entiti Zionis Israel untuk menghormati tapak suci agama dan mematuhi tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa.
''Kami menggesa kerajaan, negara-negara ASEAN, bersama OIC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak pelaksanaan sekatan bersasar termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan terhadap pegawai rejim penjajah Israel dan kumpulan peneroka haram yang terlibat dalam pelanggaran ini.
''Pada masa sama, sebarang tindakan hukuman terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan,'' katanya.
Beliau turut menuntut agar Malaysia menggunakan kedudukannya untuk menyokong siasatan antarabangsa terhadap jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan dasar pembunuhan beramai-ramai yang sedang dijalankan di Gaza dan wilayah Palestin yang dijajah.
''Akhir sekali, kami menyeru para pemimpin dunia untuk memikul tanggungjawab dalam memastikan entiti Zionis Israel dipertanggungjawabkan, menyokong akses kemanusiaan segera ke Gaza, dan menuntut perlindungan terhadap tapak-tapak suci serta keselamatan orang awam Palestin,'' ujar beliau lagi.
留言