Oleh: Aly Idham Alykallam
ULASAN: Perkembangan aktiviti pembuangan sampah haram mutakhir ini amat membimbangkan. Meskipun dilaporkan di beberapa kawasan terdapat penurunan bilangan aduan dan penutupan premis sampah haram oleh pihak berkuasa, namun longgokan-longgokan sampah masih boleh dijumpai di tepi jalan-jalan kampung dan ceruk-ceruk bandar.
Pada pendapat penulis, aktiviti pembuangan sampah haram ini berlaku kerana sikap manusia yang mengambil mudah dengan kesan aktiviti tidak bermoral tersebut. Dalam kebanyakan tangkapan yang dibuat oleh agensi penguatkuasa, aktiviti pembuangan sampah ini bukan sahaja dilakukan oleh pihak perseorangan malah secara terancang oleh kontraktor atau syarikat yang memberikan khidmat memungut sampah baik sampah binaan mahupun sampah domestik. Sikap hanya mementingkan keuntungan semata-mata menutup mata hati mereka untuk langsung tidak memikirkan kesan pembuangan sampah haram tersebut.
Pencemaran udara
Aktiviti pembuangan sampah haram boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif yang antaranya ialah pencemaran udara di kawasan sekitar. Udara tercemar dan berbau busuk yang terhasil dari proses penguraian sampah secara biologi mahupun kimia bukan sahaja meresahkan penduduk setempat dan mengganggu sesi pembelajaran pelajar di sekolah malah boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius.
Selain itu, pembuangan sampah haram juga turut mengundang haiwan-haiwan pembawa penyakit yang boleh membahayakan kesihatan dan mengancam nyawa. Sebagai contoh, sekiranya terdapat bekas makanan yang boleh menakung air, ia boleh menggalakkan pembiakan nyamuk dan seterusnya boleh membawa kepada penyebaran penyakit seperti demam denggi, Japanese Encephalitis (JE) dan malaria. Tambahan pula, serangga seperti lalat dan lipas juga boleh menyebarkan penyakit disentri, cirit-birit dan jangkitan cacing manakala tikus pula membawa jangkitan leptospirosis.
Penguatkuasaan harus efektif
Dalam menangani cabaran sampah haram ini, penulis berpandangan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Agensi penguatkuasaan harus lebih efektif dalam menangani pesalah-pesalah alam sekitar seperti menggiatkan intipan serta mengenakan hukuman yang setimpal seperti kompaun atau denda yang lebih tinggi sebagai pengajaran buat mereka dan orang lain.
Selain itu, pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat perlu sentiasa bersama dan berterusan dalam aktiviti kempen kempen kesedaran dan pendidikan alam sekitar kepada semua lapisan masyarakat. Advokasi seperti larangan penggunaan plastik pakai buang, amalan kitar semula dan pengurusan sampah yang betul adalah sangat penting bagi mewujudkan persekitaran yang lebih lestari dan bebas dari sampah haram.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara
Comments