Mengapa Umno hanya akui kegagalan tadbir urus TH selepas PRN N Sembilan?
- Suara Keadilan

- 59 minutes ago
- 2 min read

Pengakuan terbuka ikon Umno, Khairy Jamaluddin mengenai kegagalan tadbir urus Tabung Haji (TH), khususnya kenapa perkara itu tidak dijelaskan oleh Umno-BN kepada rakyat ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan perlu dipersoalkan.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid (gambar), jika wujud kegagalan tadbir urus dalam institusi TH, rakyat sepatutnya diberikan penjelasan secara terbuka tanpa mengira musim pilihanraya atau tidak.
"Kenyataan terbuka Khairy Jamaluddin yang mengakui wujudnya kegagalan tadbir urus dalam isu Tabung Haji menimbulkan persoalan besar. Jika perkara ini benar diakui hari ini, mengapa semasa kempen Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan lalu rakyat tidak diberi penjelasan yang sama? Mengapa kebenaran hanya diungkapkan selepas pilihanraya selesai?" katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Danial, TH merupakan institusi amanah umat Islam yang menguruskan simpanan jutaan pendeposit dan sebarang kelemahan tadbir urus perlu ditangani secara telus.
Beliau mendakwa pengakuan berkenaan menunjukkan isu yang dibangkitkan sebelum ini mempunyai asas dan bukan semata-mata persepsi politik.
"Pengakuan ini membuktikan bahawa isu yang dibangkitkan selama ini bukan sekadar persepsi atau tuduhan politik, sebaliknya mempunyai asas yang kini turut diakui oleh pemimpin Umno sendiri," katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga.
Danial turut mempertikaikan perjuangan Melayu-Islam Umno tetapi tidak terbuka dalam isu TH yang melibatkan kepentingan besar masyarakat Islam dan beberapa pemimpinnya terlibat dalam menguruskan TH sewaktu salah urus berkenaan berlaku sebelum 2018 lalu.
"Umno tidak boleh terus membawa naratif kononnya menjadi pembela Melayu dan Islam jika pada masa yang sama gagal berterus terang mengenai kelemahan yang berlaku dalam institusi penting negara," katanya.
Beliau berkata, rakyat masih mengingati beberapa episod yang telah menjejaskan keyakinan terhadap pengurusan aset dan institusi negara.
"Rakyat masih mengingati episod yang mencalarkan keyakinan terhadap aset negara seperti 1MDB, FELDA dan Tabung Haji. Politik yang bertanggungjawab menuntut kejujuran, akauntabiliti dan kesediaan mengakui kesilapan," katanya.
Dalam pada itu, Danial berkata Pakatan Harapan perlu terus memainkan peranan semak dan imbang terhadap Umno yang kini berada dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri.
"Sementara Umno berada dalam pentadbiran negara dan beberapa buah negeri, eloklah Pakatan Harapan sentiasa memerhati agar setiap gerak geri mereka tidak terpesong dari matlamat kebaikan untuk masyarakat," katanya lagi.




Comments