top of page

Mengapa Pas Sibuk Sangat Mahu Iktiraf Taliban?

Updated: Sep 10, 2021



ULASAN: Tulisan Presiden Pas, Hj Hadi Awang berkenaan media Barat memusuhi Taliban dan memburuk-burukkan puak itu baru-baru ini tidak mengejutkan sesiapa yang faham arah tuju pemimpin Pas tersebut sejak dari awal perjuangan politiknya.


Hj Hadi terkenal dengan politik garis keras dan pernah mengungkapkan Amanat Haji Hadi yang antara lain mengecam Perlembagaan Persekutuan sebagai warisan penjajah dan merosakkan akidah umat Islam Malaysia. Berpunca daripada hal itu berlakunya penentangan Pas terhadap Umno yang sesama muslim tetapi dianggap menganut fahaman taghut serta wajib ditentang.


Meskipun lebih 40 tahun kemudian Pas telah pun menjadi sebahagian daripada kerajaan dan mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan, walaupun tiada sepotong ayat diubah dari dokumen taghut itu, namun politik garis keras presiden Pas tetap diteruskan dengan menyokong puak Taliban di Afghanistan.


Malaysia akan iktiraf Taliban?


Mungkin Pas tidak akan mendesak Malaysia untuk menjadi negara pertama mengiktiraf rejim Taliban, namun amat jelas daripada tulisan Hj Hadi beliau bergembira akan kemenangan Taliban di negara bergolak tersebut. Alasannya mungkin sama dengan penentangan Pas ke atas Umno pada era 1980an lalu, iaitu pemerintahan kerajaan sah Afghanistan sebelum ini adalah alat penjajah, sebagaimana pemerintahan Umno-BN. Maka apabila puak yang memperjuangkan Negara Islam menggulingkan pemerintahan yang mengagungkan perlembagaan penjajah maka puak itu telah memperjuangkan Islam tulen.


Hadi tidak mungkin mengambil kira rempuhan Taliban ke ibu negara Kabul pada pertengahan Ogos lalu yang tidak selaras dengan nilai-nilai Islam kerana kedua-dua belah pihak masih berunding di Qatar. Kebebalan strategi politik Taliban juga tidak diambil kira Pas, kerana jika puak itu bersabar maka berkemungkinan besar kerajaan sah Afghanistan akan berkongsi kuasa bersama mereka selepas 31 Ogos apabila tentera Amerika Syarikat berundur sepenuhnya dan mengabaikan pentadbiran Presiden Ashraf Ghani


Sebaliknya Taliban yang disokong oleh Pakistan dan dikatakan menerima bantuan latihan ketenteraan dari Rusia serta sokongan moral daripada China merempuh ke Kabul dengan gagahnya. Sekaligus menghilangkan peluang pengiktirafan antarabangsa dan berkemungkian besar akan dipulaukan seperti mana pemerintahan mereka sebelum ini pada 1996 - 2001.


Penindasan terhadap wanita


Alasan Hj Hadi bahawa Taliban perlu diterima oleh umat Islam Malaysia kononnya rejim itu telah mengampunkan semua rakyat Afghanistan yang bekerja dengan pihak Barat. Begitu juga Taliban mengumumkan tiada kekerasan ke atas kaum wanita atau menyekat pendidikan kanak-kanak perempuan.

Penunjuk perasaan diancam senjata api

Persoalannya bolehkah janji itu dipercayai? Kurang seminggu selepas Taliban menguasai Kabul seorang penyampai berita di stesen televisyen tempatan mendakwa Taliban menghalangnya ke udara dan mengarahkan beliau tinggal di rumah. Begitu juga wartawan yang berkerja dengan stesen penyiar DW dari Jerman, diburu dan keluarganya terbunuh dalam perburuan Taliban itu.


Mengenai wanita pula, Taliban membayangkan mereka akan diarahkan memakai 'burqa', sejenis tudung labuh tradisi Afghanistan sesuai dengan syariat Islam. Puak Pas berkata Taliban menerima perbezaan mazhab dan tiada penindasan dalam amalan agama. Sedangkan kewajiban memakai burqa tidak ada ketetapan hukum dalam perbahasan mana-mana mazhab kerana pemakaian tudung kepala biasa sudah dianggap menutup aurat.


Lebih luas, puak Taliban tidak disokong oleh intelektual dan terbukti selepas hampir 3 minggu merampas kuasa, kerajaan yang sah tidak berjaya dibentuk di negara itu. Lebih buruk lagi laporan badan PBB menyebut negara itu akan mengalami bencana kekurangan makanan menjelang musim dingin pada Oktober - Disember.


Di manakah kebijaksanaan memerintah?


Adakah pemerintahan seperti itu yang dipuja Pas? Jelas Pas tidak meletakkan kebijaksanaan memerintah sebagai keutamaan, sebaliknya praktik Negara Islam didahulukan. Tidak kiralah kerajaan Taliban tidak mampu menyediakan makanan cukup buat rakyatnya tetapi amat penting hukum Islam dilaksanakan. Sedangkan Pas terlupa, sekiranya negara kekurangan makanan maka hukum Hudud potong tangan misalnya digantung berkuatkuasa sehingga keadaan kehidupan kembali normal.


Pas juga jelas menutup sebelah mata ke atas penindasan Taliban terhadap media bebas dan banyaknya wakil-wakil media antarabangsa yang meninggalkan negara itu. Sementara banyak laporan menerusi video atas talian memperlihatkan penunjuk perasaan dicabul hak asasi apabila ditembak menggunakan peluru hidup. Malah terbaharu seorang pemuda yang tidak berhenti apabila diarahkan oleh puak Taliban ditembak mati. Sedangkan 'polis' Taliban tidak mengenakan pakaian seragam dan membuat sekatan jalan tidak secara rasmi, yang sepatutnya tidak menjadi masalah jika pemandu tidak menghentikan kenderaan.

Wartawan tempatan mengadu dipukul sewaktu bertugas

Adakah Pas akan terus mengiktiraf puak Taliban yang tidak faham hak asasi manusia? Jawabannya tentu sekali Ya. Dan langkah itu perlu menjadi amaran kepada umat Islam progresif Malaysia dan mencintai demokrasi agar tidak mengundi Pas dalam pilihan raya umum akan datang.


Pas tidak mampu mengutarakan undang-undang keras di negara ini kerana kerusi yang dimenangi kecil jumlahnya. Namun dengan kedudukan sebagai kerajaan dan akses dana yang banyak di tangan mereka pada PRU 15 kelak, tidak mustahil Pas akan mendapat pertambahan kerusi dan memulakan kempen agreasif untuk merealisasikan idea-idea ekstrem mereka di dalam pemerintahan.


Tidak peduli ekonomi


Dan tentunya parti itu tidak akan mengutamakan ekonomi sebagaimana kembarnya di Afghanistan. Pas mengamalkan idea muslim teokrat. Mereka berpegang kepada fatwa bahawa bukan Islam terbahagi dua; kafir harbi dan zimmi. Konsep pemerintahan yang diamalkan pada era empayar Abbasiyah.


Maka DAP difatwakan sebagai kafir harbi kerana menjadi musuh politik Pas, sebagaimana MCA sebelum itu. Sedangkan pada era Malaysia moden, secara praktikalnya semua orang bukan Islam adalah zimmi kerana mereka menerima Perlembagaan Persekutuan dan dalam Perlembagaan itu mereka diiktiraf sebagai sama rata.


Umat Islam di Malaysia sejak sekian lama mengamalkan konsep muslin demokrat yang berteraskan ideologi demokrasi. Oleh itu, bagi muslim demokrat, Pas wajar ditolak. Perjuangan parti itu tidak jelas, agama yang dibawanya boleh disesuaikan secara pragmatik dalam isu-isu yang menguntungkan individu pemimpin. Namun dalam sesetengah keadaan, mereka mahu memaksakan konsep muslim teokrat ke atas rakyat.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page