top of page

Mengapa Malaysia sambut Trump meriah, tidak di Jepun?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Sambutan di Malaysia dalam format Sidang Kemuncak ASEAN, sementara di Jepun adalah lawatan biasa
Sambutan di Malaysia dalam format Sidang Kemuncak ASEAN, sementara di Jepun adalah lawatan biasa

Isu sambutan berkarpet merah terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, semasa ketibaannya di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Ahad lalu terus dijadikan bahan kecaman ke atas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) oleh walaon dan laskar siber Perikatan Nasional.


Mengulas perkara itu, Aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz berkata, tindakan PMX menyambut pemimpin kuasa besar dunia dengan penuh adab dan istiadat bukanlah bermakna tunduk, 'membodek' atau kagum berlebihan kepada Presiden AS.


Manakala, katanya, sikap sekutu utama AS iaitu Jepun yang tidak menyambut Trump semeriah Malaysia sebagaimana ditimbulkan oleh warga maya, merupakan dua perkara berbeza dan dalam format majlis yang berlainan.


"Ramai persoal kenapa Jepun tidak sambut Trump dengan karpet merah tetapi Malaysia sambut dengan penuh istiadat?


"Hakikatnya, Jepun tidak perlukan simbol sambutan mewah kerana hubungan Jepun–Amerika sudah terikat kukuh sejak Perang Dunia Kedua.


"Jepun ialah sekutu paling setia Amerika bersama Britain dan Israel — “pakatan JIB” yang menjadi tonggak geopolitik Barat. Maka layanan formal bukanlah ukuran hubungan mereka," katanya dalam kenyataan mengulas lawatan Trump ke Jepun sebaik selesai kunjungan ke Malaysia.


Beliau menjelaskan, Malaysia di bawah pimpinan PMX memahami kedudukannya di mata dunia sebagai negara berkecuali yang berperanan besar dalam diplomasi serantau dan global, khususnya dalam konteks ASEAN.


Oleh itu, kata Syam Ghaz, pendekatan ini menggambarkan diplomasi hikmah, sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah SAW yang pernah mengutus surat kepada kuasa besar dunia pada zamannya seperti Kaisar Rom, Raja Parsi dan Raja Habsyah dengan penuh adab, maruah dan seruan kepada keamanan.


"Baginda tidak menundukkan diri kepada kuasa besar dunia. Sebaliknya, baginda menunjukkan ketegasan, maruah dan hikmah, mengajak mereka kepada keamanan dan keadilan Islam tanpa permusuhan," katanya.


Syam Ghaz menambah, diplomasi yang ditunjukkan oleh PMX adalah contoh ‘soft power’ Islam, tegas pada prinsip tetapi lembut dalam pendekatan.


"Hari ini, PMX berdiri di tengah dunia yang juga terbahagi dua blok besar (seperti era Rasullullah) Blok Barat (AS dan sekutu) dan Blok Timur (China, Rusia dan BRICS).


"Namun Malaysia di bawah PMX berunding dengan kedua-duanya tanpa tunduk kepada sesiapa. Baginda Rasulullah SAW menulis kepada Kaisar Rom dan Kisra dengan maruah; PMX menandatangani perjanjian dengan Trump dan China dengan hikmah, diplomasi dan maruah bangsa," ujarnya.


PMX juga, menurut Syam lagi, mempunyai strategi tersendiri untuk memperlihatkan Malaysia sebagai negara Islam yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam menjalankan peranan sebagai pihak berkecuali.


"PMX tak berpihak, dia berkawan dengan semua kuasa besar, tetapi tak tunduk kepada sesiapa. Inilah “ASEAN Move” paling berani dan cerdik oleh mana-mana pemimpin rantau ini," kata Syam Ghaz.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page