Menang PRN Johor, Najib bebas: Pilihanraya bukan referendum - AMK
- Azuan Ab Rahman

- 1 day ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) hairan apabila ada pihak cuba menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai referendum terhadap nasib individu tertentu, berbanding memfokuskan agenda rakyat.
Ketua Penerangannya Danish Hairudin (gambar) berkata, pilihanraya sepatutnya menjadi medan terbaik untuk setiap parti menawarkan pelan hala tuju masa depan negeri dan kebajikan lebih empat juta rakyat di negeri itu.
"Adakah rakyat Johor akan keluar mengundi untuk menentukan masa depan negeri ini, atau dipaksa mengundi demi memenuhi agenda politik peribadi?
"Inilah masalah apabila sesebuah parti terlalu lama terperangkap dan berkisar hanya kepada usaha menyelamatkan seorang bekas pemimpin," katanya dalam satu kenyataan.
Danish berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Datuk Nazifuddin Mohd Najib yang mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor nanti akan menjadi isyarat rakyat mahu bapanya Najib Razak dibebaskan.
Beliau turut mengingatkan bahawa bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu telah disabitkan bersalah dalam kes SRC International selain turut disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan utama membabitkan skandal 1MDB.
Selain itu tegasnya, penghakiman Mahkamah Tinggi turut menolak pembelaan bahawa bekas Perdana Menteri itu hanyalah mangsa yang diperdaya, sebaliknya mahkamah memutuskan wujud hubungan yang jelas antara Najib dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam pelaksanaan penyelewengan dana 1MDB.
"Mahkamah juga menolak dakwaan bahawa wang yang diterima Najib adalah sumbangan kerabat diraja Arab Saudi, sebaliknya memutuskan dana itu berasal daripada 1MDB.
"Pilihan raya negeri bukan pentas membina tekanan politik terhadap proses kehakiman, apatah lagi menjadikan rakyat sebagai alat untuk membersihkan legasi mana-mana individu," tambahnya.
Sehubungan itu tegas beliau, PRN ini seharusnya menjadi platform membahaskan soal ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, bekalan air, banjir, perumahan serta pembangunan Johor secara menyeluruh.




Comments