Melaka dapat hospital baharu - Dr Dzulkefly
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 2 min read

Kerajaan MADANI merancang membangunkan hospital baharu di Durian Tunggal, Alor Gajah yang sekaligus dapat mengurangkan kesesakan dan peningkatan jumlah pesakit di Hospital Melaka.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) projek itu merupakan antara yang akan diangkat Kementerian menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13.
"Menurut perancangan, hospital baharu itu akan dibangunkan mengikut spesifikasi Hospital Berpakar Jenis 2 yang dilengkapi 400 katil, di atas tanah milik KKM seluas 59.8 ekar dengan anggaran kos RM875 juta.
"Kementerian kini di peringkat permohonan di bawah RP2 RMK13 untuk mendapatkan kelulusan kerja-kerja awalan projek terlebih dahulu," katanya dipetik.
Dr Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Melaka.
Mengulas mengenai Hospital Melaka, beliau menjelaskan ia merupakan antara hospital pertama yang mengamalkan konsep hospital kluster sejak lebih 12 tahun lalu bersama dua hospital lain, iaitu di Pahang dan Tawau.
Hospital Melaka ketika ini mempunyai kapasiti sekitar 1,143 katil dan merekodkan kadar penggunaan katil atau Bed Occupancy Rate (BOR) purata sekitar 80 peratus.
"InsyaAllah, saya berani memberikan jaminan bahawa strategi pengurusan katil (bed management) di hospital ini sangat membantu aliran kerja pesakit (patient flow) supaya tidak berlaku limpahan seperti di hospital lain.
"Pendekatan ini membolehkan kes-kes tidak kritikal dan limpahan pesakit dialihkan ke hospital daerah bagi mengelakkan kesesakan di hospital utama," jelasnya.
Dr Dzulkefly sementara itu memaklumkan, kementeriannya juga merangka beberapa perancangan infrastruktur kesihatan baharu di Melaka.
Ia termasuk pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka bernilai RM697 juta yang akan menambah 476 katil baharu.
"Turut dirancang ialah Kompleks Kesihatan Bersepadu Jasin, serta naik taraf Klinik Kesihatan Bukit Katil dan pembinaan Klinik Kesihatan Duyong.
"Nilai keseluruhan pelaburan bagi projek-projek infrastruktur mega ini melebihi RM1.8 bilion," tambahnya.



Comments