top of page

Mekanisme subsidi diesel perlu diperbaiki elak golongan tertentu tercicir

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

Pelaksanaan subsidi diesel bersasar perlu dikaji semula bagi memastikan rakyat yang benar-benar layak tidak tercicir daripada menerima manfaat subsidi.


Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar), terdapat beberapa isu dalam pelaksanaan semasa yang menyebabkan sebahagian rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak, terpaksa membeli diesel pada harga pasaran walaupun mereka merupakan golongan yang sepatutnya menikmati subsidi kerajaan.


"Saya ingin menarik perhatian Kerajaan MADANI terhadap beberapa isu pelaksanaan subsidi diesel bersasar yang dilihat telah menyebabkan sebahagian rakyat Malaysia terpaksa membeli diesel pada harga pasaran walaupun mereka sebenarnya adalah golongan yang sepatutnya mendapat manfaat subsidi kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, antara isu yang dibangkitkan termasuk penggunaan kenderaan pacuan empat roda (4x4) oleh ahli keluarga selain pemilik berdaftar, kenderaan yang masih didaftarkan atas nama pemilik asal kerana pinjaman bank belum selesai, serta pemilik yang bekerja di sektor luar pesisir (offshore) sehingga ahli keluarga tidak dapat menikmati subsidi.


Katanya, terdapat juga kes membabitkan individu yang membeli kenderaan bagi pihak ahli keluarga yang tidak mempunyai pendapatan tetap, selain pemilik enjin generator di kawasan luar bandar dan pedalaman yang bergantung kepada diesel untuk kegunaan harian tetapi tidak termasuk dalam kategori penerima subsidi.


"Berkemungkinan terdapat banyak lagi keadaan lain yang menyebabkan rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak, tidak dapat menikmati subsidi diesel sebagaimana yang dihasratkan oleh Kerajaan MADANI," katanya yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang.


Abun Sui mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pendekatan yang lebih praktikal dan inklusif, termasuk menilai semula syarat pemilikan berdaftar sebagaimana mekanisme subsidi RON95 yang tidak bergantung kepada status pemilik kenderaan.


"Sehubungan itu, saya mencadangkan agar Kerajaan meneliti semula mekanisme pelaksanaan subsidi diesel bersasar dengan mempertimbangkan pendekatan yang lebih praktikal dan inklusif, sepertimana pelaksanaan subsidi RON95 yang tidak mensyaratkan pemilik berdaftar sesuatu kenderaan," katanya.


Beliau berkata, pelaksanaan dasar subsidi perlu mengambil kira realiti kehidupan masyarakat luar bandar dan pedalaman yang bergantung kepada diesel bagi tujuan pengangkutan dan aktiviti harian.


"Perlu diambil maklum bahawa pemilikan kenderaan 4x4 di kalangan penduduk pedalaman Sarawak bukan untuk kemewahan tetapi merupakan satu keperluan. Justeru syarat pemilikan ini perlu difikirkan terutamanya untuk penduduk luar bandar yang sentiasa menggunakan jalan balak atau jalan tanah," katanya.


Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan terus mendengar pandangan rakyat dan menambah baik dasar sedia ada bagi memastikan tiada golongan yang layak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.


"Saya yakin Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, sentiasa bersedia mendengar pandangan rakyat dan melakukan penambahbaikan terhadap dasar-dasar sedia ada demi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menikmati bantuan dan subsidi yang disediakan oleh kerajaan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page