top of page

Pas mahu mekanisme harga minyak 'dua lapis', tidak realistik

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 days ago
  • 2 min read

Updated: 1 day ago


Aktivis KEADILAN, Zainurizzaman Moharam membantah cadangan yang dikemukakan Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berhubung mekanisme harga bersubsidi minyak kegunaan domestik.


Beliau juga membantah hujah Fadhli yang membayangkan seolah olah Malaysia masih negara pengeluar minyak (net exporter) sebagaimana dua dekad lalu.


Katanya, kedudukan Malaysia tidak lagi merupakan negara pengeluar dengan hasil sekitar 350,000 tong sehari namun kegunaan domestik melebihi 700,000 tong.


Oleh itu, ujar Zainurizzaman petroleum negara yang kurang sulfur dan diketegorikan sebagai Tapis Blend, berkualiti tinggi wajar digunakan untuk bahan api kapal terbang dan sebagainya.


"Berulang kali kita sudah beritahu bahawa minyak itu (petroleum Malaysia) mempunyai kualiti kayangan, premium dan harganya mahal. Maka kita jual minyak tersebut ke luar negara sebab kita nak untung besar untuk (dapatkan) hasil.

Zainurizzaman Moharam
Zainurizzaman Moharam

"Kereta walaun tak ‘minum’ minyak mentah. Kereta tu ‘minum’ petrol yang dah ditapis.


"Masalahnya sekarang, kilang penapisan kita ini tak cukup nak proses semua keperluan domestik dalam negara, jadi terpaksa import balik minyak yang dah siap proses dan tapis.


"Jadi apabila harga pasaran dunia ini naik, maka kos import juga akan naik, itu asas dia. Kalau kerajaan jual murah melampau, siapa nak ‘cover lubang’ berbilion subsidi itu? Logiklah sikit kalau nak bandingkan dulu dan sekarang," katanya dalam satu siaran video di platform media sosial.


Terdahulu, Ahmad Fadhli menerusi penulisannya di lidah rasmi Pas menimbulkan persoalan mengapa harga minyak domestik perlu terikat kepada turun naik pasaran global, sedangkan negara mempunyai kelebihan untuk menguruskannya secara lebih seimbang.


Namun Zainurizzaman mengingatkan, satu ketika dahulu isi rumah hanya memiliki satu kenderaan, namun kini kebanyakannya mempunyai sekurang-kurangnya dua, malah ada yang setiap ahli keluarga memiliki kenderaan sendiri, sama ada motosikal atau kereta.


Katanya, perkembangan itu antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan permintaan bahan api domestik sehingga Malaysia beralih daripada pengeksport bersih kepada pengimport bersih.


"Kemudian apa yang Ahmad Fadhli cadangkan (ialah) sistem dua lapisan harga iaitu harga domestik dan harga global.


"Kalau ada dua harga yang berbeza jauh, itulah syurga pasar gelap. Penyeludup akan beli (bahan api itu) dengan harga rakyat walau macam mana cara sekalipun.


"Selepas itu, mereka akan jual harga industri atau seludup ke luar negara yang mana selama ini berbilion subsidi kita tiris sebab sistem macam itulah," jelas beliau lagi.


Ahmad Fadhli dalam penulisannya antara lain menyatakan kerajaan mesti memperkenalkan sistem harga dua lapisan yang membezakan antara harga domestik dan harga pasaran global bagi menstabilkan kos hidup rakyat tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.


Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, cadangan-cadangan yang dikemukakan bagi memastikan kedaulatan sumber negara benar-benar dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page