top of page

Krisis Tenaga Global: Mandat Khas Ekonomi Demi Kestabilan Politik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 4 min read

Oleh: Lai Chen Heng


ULASAN: Dari rumah saya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur masih kelihatan gah. Namun, di sebalik deru kenderaan di Jalan Genting Kelang dan kilauan bangunan pencakar langit, satu keresahan mula menyerubungi nadi ekonomi kita. Sejak gangguan bekalan tenaga global meletus pada 28 Februari 2026, naratif di ibu kota telah berubah drastik.


Meskipun gencatan senjata dua minggu di Asia Barat memberi sedikit ruang bernafas, ekonomi negara sebenarnya masih "berperang". Krisis bekalan ini sedang menuju ke tahap gangguan yang jauh lebih parah daripada pandemik Covid-19.


Untuk mengharunginya, Malaysia tidak boleh sekadar bersaing dalam ruang yang sesak dengan penyelesaian lama. Kita perlu mencipta ruang pertumbuhan baharu yang membolehkan kita muncul sebagai ekonomi yang lebih berdaya tahan dan negara yang lebih selamat.


Melangkaui fatamorgana harga minyak


Malaysia melangkah ke fasa mencabar ini dalam kedudukan kekuatan relatif. Kita memiliki kelebihan "dua minyak" (petroleum dan minyak sawit) serta rantaian pembuatan yang kukuh. Malah, Ringgit telah mengukuh dengan ketara, membolehkan Bank Negara menaikkan ramalan pertumbuhan ekonomi 2026 kepada 4% hingga 5%—satu-satunya bank pusat yang berani menaikkan unjuran di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Lai Chen Heng
Lai Chen Heng

Namun, amaran terbaharu daripada Tengku Zafrul Aziz harus dipandang serius iaitu keuntungan minyak yang tinggi sebenarnya adalah satu fatamorgana. Walaupun harga minyak mentah dunia melonjak, bil subsidi kerajaan melambung jauh lebih laju, mencapai RM4 bilion sebulan.


Hakikatnya, penggunaan petroleum dalam negara kini telah melangkaui jumlah yang kita hasilkan sendiri. Membelanjakan setiap sen keuntungan hanya untuk subsidi adalah satu tindakan "memakan masa depan" kerana ia menghakis peruntukan bagi pelaburan kelestarian negara.


Di sinilah sistem BUDI95 menjadi penyelamat. Dengan menyelaraskan kuota subsidi daripada 300 kepada 200 liter, kerajaan menggunakan ketepatan data untuk melindungi 90% rakyat yang memang menggunakan minyak di bawah had tersebut, sambil menutup lubang penyeludupan yang merugikan kita semua.


Malaysia destinasi "Pelabuhan Selamat"


Krisis bekalan tenaga ini dijangka berlarutan lebih lama daripada yang kita jangkakan. Memandangkan sebahagian besar minyak dan gas Asia melalui Selat Hormuz, sebarang gangguan lanjut akan mencetuskan krisis bekalan yang dahsyat. Sejarah krisis minyak 1973 mengajar kita bahawa kesan ekonomi boleh berlarutan bertahun-tahun selepas gangguan bermula.


Mungkin perkataan "darurat" agak berat untuk didengar, namun ada keperluan mendesak untuk negara fokus dalam satu Mandat Khas Ekonomi. Ini bukan tentang sekatan, tetapi tentang mewujudkan kepastian dalam ketidakpastian. Penyelarasan semua Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum di bawah satu mandat khas adalah langkah pragmatik untuk menjadikan Malaysia "destinasi tanpa tandingan" bagi pelabur antarabangsa.


Dana kekayaan berdaulat luar negara berjumlah AS$5 trilion sedang mencari "Pelabuhan Selamat" (safe heaven), dan kita mesti menawarkan kestabilan politik yang jitu supaya kerajaan boleh fokus sepenuhnya pada kerja memulihkan ekonomi tanpa gangguan kempen yang tidak berkesudahan.


Transisi ke arah ekosistem pasca-petroleum


Krisis ini merupakan isyarat jelas untuk Malaysia mengurangkan kebergantungan sistemik terhadap petroleum bagi mobiliti peribadi, yang kini telah bertukar daripada aset menjadi liabiliti strategik nasional. Kita harus berhenti memperbaiki sistem lama dan mula membina ruang nilai baharu:


• Peralihan modal dan diversifikasi tenaga: Kita perlu memperkasakan pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan awam serta memacu ekosistem kenderaan elektrik (EV) secara agresif. Selain elektrifikasi, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menerajui pasaran bahan api alternatif seperti metanol hijau dan hidrogen, khususnya bagi memenuhi keperluan sektor pengangkutan logistik berat dan industri perkapalan.


• Mandat kelestarian seni bina: Kerajaan harus mewajibkan piawaian bangunan hijau bagi semua projek pembangunan masa hadapan. Polisi ini bukan lagi sekadar memenuhi tuntutan ESG, tetapi merupakan keperluan teknikal untuk mengoptimumkan kecekapan tenaga secara pasif. Langkah ini secara langsung akan mengurangkan tekanan beban terhadap grid nasional serta meminimumkan kos operasi jangka panjang.


• Mekanisme bantuan sektor strategik: Bagi industri yang bergantung kepada bahan api seperti pembinaan dan perikanan, model subsidi diesel tradisional perlu ditransformasikan. Pendekatan bantuan berasaskan hasil (verifiable output) atau intervensi pasaran seperti memecahkan monopoli rantaian bekalan bahan mentah (simen dan konkrit) adalah lebih efektif untuk mengurangkan kos operasi secara organik tanpa risiko ketirisan.


• Kedaulatan Rantaian Bekalan dan Ekonomi Kitaran: Ketidaktentuan import bahan mentah global harus dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada industri "sisa-ke-kekayaan" (waste-to-wealth). Sebagai contoh, pengukuhan industri pemprosesan sisa plastik domestik kepada resin berkualiti tinggi dapat menjamin kelangsungan pengeluaran tempatan apabila rantaian bekalan luar terganggu.


• Resiliensi Integrasi ASEAN: Kita perlu memperkukuh doktrin integrasi serantau. Dalam mendepani krisis global, kebergantungan kepada rakan strategik ASEAN bagi jaminan bekalan makanan dan bahan mentah adalah jauh lebih stabil dan selamat berbanding rantaian bekalan global yang rapuh.


Bertindak balas untuk kelangsungan


"Peluang Malaysia tidak terletak pada krisis itu sendiri, tetapi pada keupayaan dan kapasiti kita untuk bertindak balas terhadap dunia yang berubah." — Tengku Zafrul Aziz.


Kita perlu beralih daripada mod "sekadar mahu bertahan" kepada mod "membina daya tahan" melalui data dan pelaburan bijak. Kita tidak bersaing dengan masa lalu; kita sedang membina masa depan di mana kebergantungan kepada sumber terhad digantikan dengan inovasi yang tiada had.


Sebelum negara lumpuh akibat beban tenaga, marilah kita gunakan segala toolkit yang ada untuk merangka masa depan yang lebih kukuh.


Jika Kuala Lumpur sebagai jantung ekonomi negara terjejas, apatah lagi nasib seluruh negara? Masa tidak menunggu mereka yang teragak-agak untuk meneroka ruang baharu ini.


Penulis merupakan mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (andrelai.com)

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page