top of page

Ocean Thunder selamat tiba, bekalan tenaga kekal stabil - PETRONAS

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Apr 18
  • 2 min read
Setelah lebih seminggu dalam pelayaran kapal Ocean Thunder tiba di Malaysia dengan bekalan minyak mentah
Setelah lebih seminggu dalam pelayaran kapal Ocean Thunder tiba di Malaysia dengan bekalan minyak mentah

Kapal Ocean Thunder yang sebelum ini berjaya melepasi Selat Hormuz selamat tiba di Malaysia dengan membawa satu juta tong minyak mentah dari Basrah, Iraq, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap kestabilan bekalan tenaga negara ketika pasaran global berdepan ketidaktentuan.


PETRONAS dalam hantaran rasmi di Facebook berkata ketibaan kapal berkenaan merupakan sebahagian daripada rangkaian bekalan luas yang diuruskan bagi memastikan keperluan domestik terus terjamin.


"Ini sebahagian daripada rangkaian bekalan yang luas, salah satu usaha PETRONAS dalam memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil," kata syarikat minyak nasional itu hari ini.


Menurut infografik dikongsikan, secara purata Malaysia menggunakan sekitar 112 juta liter bahan api setiap hari, merangkumi diesel, petrol, bahan api pesawat dan LPG.


Satu juta tong minyak mentah pula dianggarkan mampu menghasilkan kira-kira 159 juta liter produk petroleum selepas proses penapisan, kata PETRONAS.


PETRONAS menjelaskan Ocean Thunder hanyalah sebahagian daripada 38% import minyak mentah negara yang melalui Selat Hormuz manakala bekalan selebihnya diperoleh daripada pelbagai sumber lain dalam rangkaian antarabangsa syarikat itu.


Sehubungan itu, PETRONAS menegaskan bekalan bahan api di stesen-stesennya kekal mencukupi sehingga hujung Jun ini.


"Bekalan bahan api Malaysia turut diperoleh daripada pelbagai sumber lain dalam rangkaian PETRONAS yang luas," katanya.


Kapal tangki Ocean Thunder sebelum ini menjadi perhatian apabila dilaporkan antara kapal berkaitan Malaysia yang terkandas sementara di perairan berhampiran Selat Hormuz susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Laluan strategik itu dikawal ketat selepas konflik Iran-Amerika Syarikat memuncak, menyebabkan beberapa kapal dagang dan kapal tangki perlu menunggu kebenaran untuk meneruskan perjalanan.


Menurut laporan Reuters, Ocean Thunder membawa kira-kira 1 juta tong minyak mentah Basrah Heavy dari Iraq dan disewa oleh unit Petronas bagi tujuan bekalan ke Malaysia.


Kapal tersebut akhirnya berjaya melepasi Selat Hormuz selepas beberapa hari menunggu pelepasan, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga negara ketika pasaran minyak dunia tidak menentu.


Dalam perkembangan sama, Kedutaan Iran di Malaysia menerusi kenyataan rasmi memaklumkan kapal pertama menuju Malaysia telah dibenarkan melalui laluan itu sambil menyebut, “Islamic Republic of Iran does not forget its friends.”


Kenyataan tersebut dilihat sebagai isyarat hubungan diplomatik baik antara Kuala Lumpur dan Teheran yang membantu melancarkan pergerakan kapal berkaitan Malaysia di tengah krisis serantau.


Pada awal minggu ini, PETRONAS mengesahkan bekalan bahan api di stesen-stesennya kekal mencukupi sehingga akhir Jun, sekali gus memberi jaminan bahawa sebarang gangguan di Timur Tengah setakat ini tidak menjejaskan bekalan domestik secara langsung.


Laporan media tempatan menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata kedudukan kapal-kapal Malaysia di kawasan Selat Hormuz masih terkawal walaupun terdapat sedikit gangguan operasi.


Beliau memaklumkan sebuah kapal telah tiba, satu lagi hampir memasuki perairan Malaysia manakala beberapa kapal lain sedang dipantau selepas menerima kelulusan untuk meneruskan perjalanan.


Anwar turut menjelaskan sebuah daripada kapal berkenaan mengalami kerosakan dan sedang dibaiki di pelabuhan, namun memberi jaminan insiden itu tidak menjejaskan bekalan petrol negara buat masa ini.


Beliau berkata kerajaan dan PETRONAS terus memantau rapi perkembangan semasa bagi memastikan rantaian bekalan tenaga negara tidak terganggu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page