Adegan intim pertandingan teater UM: Imej universiti tercemar
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Penganjuran pertandingan Karnival Teater (KARVITER) di Universiti Malaya (UM) mencetuskan kontroversi apabila sebuah adegan 'bilik tidur' dipersoalkan sehingga mengundang reaksi keras pelbagai pihak.
Mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) menyifatkan insiden berkenaan sebagai sesuatu yang mencemarkan bukan sahaja kepada universiti tersebut, malah kepada keseluruhan institusi mahasiswa di negara ini.
"Adegan memalukan dari mahasiswa UM bukan sahaja mencalarkan nama universiti, tetapi turut memalukan imej mahasiswa secara keseluruhan," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap tahap pemikiran segelintir mahasiswa yang menurutnya tidak mencerminkan kedudukan universiti berprestij tersebut.
"Bayangkan Universiti terbaik dalam negara ini melahirkan pemikiran mahasiswa hina sebegini," katanya.
Sehubungan itu, Fakhrulrazi menyeru mahasiswa lain yang lebih rasional untuk tampil memainkan peranan dalam membetulkan keadaan dan memulihkan imej institusi.
"Saya mengharapkan mahasiswa yang ramai lebih cerdik dapat membantu menyedarkan mahasiswa yang hina ini supaya imej mahasiswa dan institusi dipulihkan setelah dirosakkan oleh sebahagian mahasiswa yang bebal," katanya lagi.
Kontroversi tersebut mencetuskan perbincangan hangat mengenai batas kebebasan berkarya dalam kalangan mahasiswa serta tanggungjawab menjaga sensitiviti dan reputasi institusi pendidikan tinggi.
Kelmarin, Universiti Malaysa mengesahkan adegan sebuah persembahan teater yang menyertai pertandingan Karnival Teater (KARVITER) di universiti itu yang tular di media sosial tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan.
Menurut UM, persembahan teater itu jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan.
Universiti itu juga memandang serius serta mengambil maklum segala kebimbangan yang dibangkitkan dalam kalangan masyarakat.
"Sehubungan itu, Universiti Malaya dengan ini memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta sebarang kegusaran yang timbul.
"Universiti tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang telah ditetapkan," kata UM dalam kenyataan.




Comments