MEF sokong pendekatan kerajaan hadapi krisis bahan api global
- Suara Keadilan

- 10 hours ago
- 1 min read

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong pendekatan pragmatik dan pelaksanaan secara berperingkat dilaksana kerajaan dalam menangani kenaikan kos tenaga
Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman (gambar) berkata, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan kos tenaga susulan ketidaktentuan global dan usaha dilaksana kerajaan penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan pekerja terus terpelihara.
"Justeru, langkah rasionalisasi bahan api sementara yang diumumkan kerajaan wajar disokong sebagai satu keperluan strategik namun dasar itu perlu mengambil kira realiti dan keupayaan setiap sektor.
"Pendekatan 'one size fits all' tidak sesuai kerana setiap industri mempunyai cabaran dan kemampuan yang berbeza. Pelaksanaan dasar perlu lebih anjal dan bersasar," katanya dipetik.
Sementara itu tambahnya, sokongan khusus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) amat penting, termasuk melalui penyediaan insentif, geran dan dasar yang jelas bagi membantu perniagaan menyesuaikan operasi tanpa menjejaskan kelangsungan.
"Langkah ini bukan sahaja membantu perniagaan kekal beroperasi, malah memberi ruang kepada pekerja menikmati persekitaran kerja yang lebih stabil dan seimbang," ujarnya.
Selain itu jelasnya, usaha memperkenalkan dasar yang lebih fleksibel dan responsif adalah selari dengan keperluan semasa, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur serta menjamin kesejahteraan tenaga kerja negara.
"Pendekatan kolektif dan inklusif mampu memastikan negara kekal berdaya tahan serta mampan dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks," tambahnya.




Comments