top of page

MediAsas: Reformasi pembiayaan kesihatan swasta mampu milik

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 17 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan komited melaksanakan reformasi pembiayaan kesihatan swasta menerusi pengenalan pelan perlindungan insurans dan takaful perubatan baharu, MediAsas, yang disasarkan lebih mampu milik khususnya untuk golongan marhaen.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif itu berteraskan prinsip keadilan sosial bagi memastikan kesihatan rakyat tidak dijadikan beban kewangan.


"Kesihatan rakyat tidak wajar didagangkan sehingga membebankan kehidupan golongan marhaen. Bertitik tolak daripada prinsip keadilan sosial, kerajaan komited memacu reformasi pembiayaan kesihatan swasta melalui pengenalan MediAsas," katanya dalam hantaran di media sosial.


Menurut beliau, pelan perlindungan insurans dan takaful perubatan (standalone) itu direka khusus bagi mengekalkan kemampuan rakyat mendapatkan perlindungan kesihatan.


Katanya, MediAsas menawarkan premium bermula serendah RM60 hingga RM550 dengan perlindungan rawatan sehingga usia 85 tahun menerusi dua pilihan produk, iaitu MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi.


"Bagi menjamin hak pengguna, sebuah Lembaga Tadbir Urus Bebas (IGB) akan ditubuhkan bagi memastikan aspek tadbir urus dan perlindungan pengguna terus diperkukuh," katanya.


Dr Dzulkefly berkata, langkah itu turut disokong melalui kerangka RESET yang merangkumi pendigitalan rekod kesihatan elektronik (EMR), pemodenan sistem pelesenan fasiliti kesihatan swasta serta jaminan ketelusan bil perubatan.


Beliau berkata, program rintis MediAsas dijangka menjadi asas kepada pembaharuan menyeluruh sistem kesihatan negara sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 2027.


"Program rintis ini bakal mencorakkan landskap baharu kesihatan negara secara menyeluruh menjelang pelaksanaannya pada tahun 2027," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page