top of page

MCMC perlu selesai segera masalah telekomunikasi di Sungai Baron

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa bertindak segera bagi menyelesaikan masalah gangguan liputan telekomunikasi yang berlarutan hampir dua minggu di lima rumah panjang di Sungai Baron, Sarikei, yang menjejaskan kira-kira 500 penduduk termasuk sebuah sekolah rendah.


Gesaan itu disuarakan oleh Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee selepas mengadakan lawatan ke lima buah rumah panjang di kawasan Sungai Baron itu susulan aduan yang diterima daripada penduduk tempatan berhubung masalah gangguan liputan telekomunikasi yang berlarutan meskipun aduan telah dikemukakan kepada pihak berkaitan.


Beliau berkata, penduduk berdepan dengan liputan telekomunikasi yang amat lemah, malah ada ketikanya langsung tiada perkhidmatan.


Keadaan itu ujarnya bukan isu baharu, sebaliknya telah membelenggu kehidupan mereka sejak lama.


"Penduduk turut meluahkan rasa kecewa apabila walaupun sebuah menara telekomunikasi dibina di kawasan mereka beberapa tahun lalu, masalah capaian rangkaian masih gagal diselesaikan sepenuhnya.


"Isyarat telefon didakwa sangat tidak stabil dan sering terputus-putus, seolah-olah ‘hilang ditiup angin’.


"Lebih mengecewakan, penduduk mendakwa mereka masih perlu membayar bil bulanan seperti biasa walaupun kualiti perkhidmatan yang diterima amat tidak memuaskan," katanya dalam satu kenyataan.


Susulan gesaan itu, Bruce berharap agar masalah telekomunikasi yang menjejaskan hampir 500 penduduk di kawasan itu dapat ditangani segera agar penduduk boleh menikmati akses komunikasi yang lebih baik, setanding dengan kemudahan yang dinikmati masyarakat di kawasan bandar.


Dalam lawatan sama, Bruce mendapati satu lagi masalah iaitu struktur culvert parit di laluan utama menuju ke lima buah rumah panjang tersebut serta sebuah sekolah rendah berada dalam keadaan runtuh dan sangat membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.


"Menurut penduduk, kerosakan infrastruktur tersebut telah lama dilaporkan kepada pihak berwajib, namun sehingga kini masih belum menerima tindakan pembaikan yang sewajarnya.


"Sehubungan itu, saya menyeru pihak berkaitan agar memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera terhadap kerosakan kemudahan asas ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan pergerakan harian penduduk, malah boleh mengundang risiko keselamatan yang besar kepada hampir 500 penghuni serta murid sekolah di kawasan tersebut.


"Kemudahan asas yang selamat dan akses telekomunikasi yang berkualiti bukanlah satu keistimewaan, tetapi hak yang wajar dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira lokasi," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page