Wujudkan peraturan enam hari cuti penjagaan anak berbayar


Malaysia wajar mempertimbangkan enam hari cuti penjagaan anak berbayar setahun bagi setiap ibu dan bapa yang mempunyai anak kecil, agar keperluan penjagaan yang tidak dapat dielakkan, tidak lagi perlu ditampung melalui cuti tahunan, kehilangan pendapatan atau budi bicara majikan.
Cadangan itu dikemukakan Pengarah Eksekutif Suluh Centre, Nadia Nazri, yang berpandangan dasar penjagaan perlu berkembang seiring dengan keperluan keluarga selepas tamat cuti bersalin dan paterniti.
Nadia berkata, Malaysia sudah mengiktiraf bahawa kelahiran seorang anak mengubah kehidupan pekerja iaitu melalui cuti bersalin, tujuh hari cuti paterniti dan ruang kepada aturan kerja fleksibel.
Namun realitinya, beliau berkata, aturan kerja fleksibel masih bergantung kepada kelulusan majikan dan keperluan seorang anak tidak tamat apabila cuti tersebut berakhir.
"Kadangkala anak jatuh sakit, taska mungkin terpaksa ditutup sementara, ada urusan atau aktiviti sekolah yang perlu dihadiri, dan temu janji kesihatan tetap perlu diurus dalam waktu bekerja.

"Dalam keadaan seperti ini, keluarga selalunya terpaksa mencari penyelesaian sendiri iaitu menggunakan cuti tahunan, mengambil cuti tanpa gaji, bergantung kepada bantuan ahli keluarga, atau memohon kelonggaran daripada majikan.
"Apabila pilihan itu semakin terbatas, tanggungjawab penjagaan terlalu kerap kembali jatuh kepada ibu.
"Di sinilah cuti penjagaan anak berbayar (paid childcare leave) boleh mengisi satu jurang yang masih wujud dalam dasar pekerjaan kita.
"Malaysia wajar mempertimbangkan enam hari cuti penjagaan anak berbayar setahun bagi setiap ibu dan bapa yang mempunyai anak kecil," katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Nadia lagi, pada 2025, wanita Malaysia menghabiskan purata 6 jam 7 minit sehari untuk kerja domestik dan penjagaan tidak berbayar, berbanding kira-kira 4 jam 20 minit bagi lelaki yang menyaksikan perbezaan 1 jam 47 minit sehari.
Katanya jika jumlah itu dikumpulkan sepanjang setahun, ia bersamaan kira-kira 651 jam atau 81 hari bekerja selama lapan jam.
"Gambaran ini bukan bermaksud bahawa masa yang dicurahkan kepada penjagaan anak atau mengurus rumah adalah masa yang ‘terbuang’.
"Tanggungjawab penjagaan tetap perlu dilakukan dan nilainya kepada sesebuah keluarga tidak boleh diukur melalui pendapatan semata-mata, tetapi ia mendedahkan bahawa komitmen masa tersebut tidak diagihkan secara sama rata.
"Apabila perbezaan itu terkumpul hari demi hari, tahun demi tahun, ia perlahan-lahan berubah daripada jurang masa menjadi jurang peluang yang mempengaruhi ruang untuk membina pengalaman, mencuba bidang baharu dan bergerak dalam kerjaya.
"Ini kerana apa yang bermula sebagai ketidakseimbangan masa di rumah, akhirnya turut menentukan sejauh mana potensi seseorang dapat berkembang di luar rumah," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Nadia berkata, dapatan Kajian Suara Wanita 2025/2026 oleh pihaknya memperlihatkan kesan yang sama dalam ruang kepimpinan: 45.8% responden melihat beban berganda penjagaan keluarga sebagai halangan terbesar kepada penyertaan wanita.
Walaupun soalan itu berkisar tentang pimpinan, beliau berkata jawapannya sudah mencerminkan realiti yang lebih luas iaitu keupayaan sahaja tidak mencukupi apabila ruang untuk mengambil bahagian semakin terbatas.




Comments