'Umno berhak bayar denda Najib, rakyat berhak menilai'


Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata Umno mempunyai hak dari sudut undang-undang untuk mengumpul dana bagi melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak, namun tindakan itu tidak terlepas daripada penilaian moral dan kepentingan awam.
Beliau berkata, keputusan Umno menggunakan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membayar denda berkenaan perlu dilihat dalam konteks lebih besar, khususnya berkaitan prinsip integriti, keadilan dan akauntabiliti kepimpinan negara.
"Saya mengambil maklum keputusan Umno melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melalui Tabung Solidariti Najib Razak.
"Dari sudut undang-undang, Umno mempunyai hak untuk mengumpulkan dana dan membuat keputusan tersebut. Namun, hak itu tidak bermakna tindakan berkenaan terlepas daripada penilaian moral, politik dan kepentingan awam," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagi Aiman Athirah, kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan dana negara tidak seharusnya dipandang ringan hanya disebabkan hubungan politik, persahabatan atau kedudukan seseorang.
Beliau berkata, kes Najib tidak boleh dilihat semata-mata sebagai kesalahan individu kerana kesannya turut melibatkan kepentingan negara dan rakyat akibat kelemahan tadbir urus serta penyalahgunaan kuasa ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Katanya, kes SRC International yang membabitkan penyelewengan RM42 juta dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyaksikan lebih AS$4.5 bilion dana diselewengkan menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), mencerminkan kesan besar terhadap institusi, keyakinan pelabur dan kepentingan negara.
Korupsi projek paip gas, lebuh raya Pan Borneo
Selain itu, beliau membangkitkan isu pelaksanaan Projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) yang menurutnya melibatkan nilai kontrak RM9.4 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM8.3 bilion atau 88 peratus dilaporkan telah dibayar menjelang 2018, sedangkan kemajuan fizikal projek ketika itu hanya sekitar 13 peratus.
Beliau bagaimanapun menjelaskan angka kemajuan berkenaan, berdasarkan penjelasan Perdana Menteri di Parlimen, masih belum diaudit atau disahkan.
Kedua-dua projek berkenaan akhirnya ditamatkan dan kerajaan berdepan anggaran kerugian sekitar RM3 bilion, katanya.
Aiman Athirah turut menyentuh pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1 apabila sebanyak RM10.547 bilion atau 94.6 peratus daripada peruntukan RM11.153 bilion telah dibelanjakan sehingga 31 Mac 2026.
Namun, katanya, hanya empat daripada 35 pakej kerja disiapkan sepenuhnya, sedangkan projek itu sepatutnya selesai pada penghujung 2021.
Menurutnya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sedang meneliti kelewatan, pengurusan kewangan dan pelaksanaan projek berkenaan.
"Inilah harga sebenar kegagalan tadbir urus.
"Wang yang hilang bukan sekadar kerugian dalam lembaran kewangan kerajaan. Ia bermakna kemudahan rakyat tertangguh, peluang ekonomi terlepas, pembangunan terbantut dan generasi akan datang terpaksa menanggung akibat keputusan yang dibuat oleh pemimpin terdahulu," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat menilai isu berkenaan secara rasional dan berlandaskan fakta serta tidak membiarkan kesetiaan politik mengatasi prinsip keadilan.
"Jasa seseorang tidak boleh menjadi lesen untuk mengetepikan undang-undang. Apatah lagi apabila amanah dan sumber negara dipertaruhkan," katanya.
Beliau berkata Malaysia perlu membina budaya politik yang meletakkan integriti mengatasi kepentingan individu, amanah mengatasi kepentingan parti dan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.
"Rakyat berhak mendapat kepimpinan yang bersih, pentadbiran yang bertanggungjawab dan pengurusan kewangan negara yang beramanah.
"Rasuah bukan sekadar mencuri wang rakyat. Rasuah merampas peluang, mengorbankan pembangunan dan mencuri masa depan generasi akan datang," katanya lagi.




Comments