top of page

Status hukuman tahanan rumah Najib: KDN tunggu keputusan mahkamah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 hours ago
2 min read
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Jabatan Penjara, akan mematuhi apa juga keputusan mahkamah berhubung pelaksanaan hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak susulan pembayaran denda RM50 juta dalam kes SRC International.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah merujuk kepada Peguam Negara bagi mendapatkan penjelasan perundangan berhubung Perintah Pelepasan (Order of Discharge) yang dikeluarkan pendaftar mahkamah.


Menurutnya, perintah berkenaan menimbulkan tafsiran berbeza dari sudut perundangan, khususnya berkaitan pelaksanaan hukuman penjara Najib setelah denda RM50 juta dibayar dan langkah seterusnya adalah menguatkuasakan pengampunan ke atas Najib, berupa tahanan di rumah.


"Jadi, apa yang kita buat adalah kita merujuk untuk mendapat pandangan Peguam Negara supaya ada clarity dari segi pelaksanaannya.


"Jadi, kami tertakluk kepada nasihat perundangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjelaskan pendirian KDN berhubung isu pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib serta perkembangan terbaharu berkaitan pembayaran denda berkenaan.


Saifuddin menegaskan Najib mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan pengampunan, manakala kuasa memberikan pengampunan terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Datuk Seri Najib berhak untuk memohon pengampunan. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, kuasa itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.


"Bahagian kami adalah melaksanakannya sesuai dengan acuan dan tertib perundangan," jelasnya.


Mengulas lanjut, beliau berkata KDN dan Jabatan Penjara telah mengambil semua langkah yang diperlukan bagi melaksanakan apa juga keputusan, sama ada di peringkat Lembaga Pengampunan mahupun berdasarkan arahan mahkamah.


Bagaimanapun, katanya, selepas Peguam Negara mengemukakan pandangan perundangan, pihak peguam Najib turut memberikan maklum balas yang menunjukkan wujud perbezaan tafsiran.


Sehubungan itu, beliau berkata penyelesaian terbaik adalah dengan membawa persoalan berkenaan ke mahkamah untuk mendapatkan keputusan yang jelas.


"Kalau ada perbezaan begitu, seperti mana nasihat Peguam Negara, pentafsiran yang terbaik harus dibuat di mahkamah.


"Apa pun keputusan, pihak KDN khususnya Jabatan Penjara akan melaksanakan sesuai dengan arahan undang-undang," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page