Calon SPM, STPM di 32 sekolah Indera Mahkota, Kuantan terima kit peperiksaan


Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di kawasan Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan menerima sumbangan kit peperiksaan menerusi inisiatif membantu persiapan akhir pelajar menghadapi peperiksaan tahun ini.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Datuk Seri Fauzi berkata, inisiatif itu membabitkan 28 sekolah yang mempunyai calon SPM dan empat sekolah melibatkan calon STPM.
Menurut beliau, pemberian set kelengkapan peperiksaan itu bertujuan meringankan beban pelajar selain memberikan dorongan moral bagi meningkatkan semangat mereka sebelum menghadapi peperiksaan.
Katanya, proses pengagihan kit berkenaan bermula Jumaat, 6 November lalu dengan penyerahan dibuat secara langsung kepada wakil pihak sekolah untuk diagihkan kepada calon masing-masing.
"Inisiatif ini diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban serta membantu persiapan akhir para pelajar sebelum melangkah ke dewan peperiksaan," katanya dalam hantaran di media sosial.

Beliau berkata, calon SPM dijadual memulakan peperiksaan bertulis pada 23 November ini, manakala calon STPM akan menduduki peperiksaan bermula 17 November.
Sehubungan itu, Farhan mendoakan semua calon SPM dan STPM di Parlimen Indera Mahkota, Kuantan serta seluruh Pahang diberikan ketenangan fikiran dan kesihatan yang baik sepanjang tempoh peperiksaan.
"Saya mendoakan agar semua anak-anak calon SPM dan STPM di Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan serta seluruh Negeri Pahang diberikan ketenangan fikiran, kesihatan yang baik, serta meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan yang bakal diduduki nanti," katanya lagi.




Comments