top of page

Denda jenayah Najib bukan untuk dibayar melalui kutipan dana politik - Choon Man

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
2 min read
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man

Tindakan Umno mengumpul dan membayar denda RM50 juta bagi pihak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi sumbangan orang ramai menimbulkan persoalan serius mengenai tujuan sebenar hukuman jenayah, kata Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.


Beliau berkata, hukuman jenayah bukan sekadar bertujuan mengisi tabung kerajaan, sebaliknya memastikan individu yang disabitkan kesalahan menanggung sendiri akibat perbuatan mereka.


Katanya, meskipun beliau menghormati pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke atas Najib namun hal itu tidak boleh disamakan dengan pembebasan daripada kesalahan, manakala sokongan politik pula tidak seharusnya dianggap sebagai satu bentuk pertanggungjawaban.


"Sekiranya seseorang yang telah disabitkan kesalahan boleh mendapatkan bantuan penyokong politik untuk membayar denda jenayahnya, apakah sebenarnya tujuan hukuman tersebut?" katanya dalam kenyataan.


Menurutnya, penghakiman sivil dan hukuman jenayah merupakan dua perkara berbeza walaupun terdapat tindakan mengumpul dana menerusi kempen solidariti bagi membantu individu melunaskan tanggungan kewangan.


Beliau mengambil contoh kes membabitkan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh yang menyaksikan penyokong membeli ikan secara beramai-ramai bagi membantu menyelesaikan penghakiman sivil.


Bagaimanapun, katanya, kes Najib melibatkan sabitan jenayah menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta milik SRC International yang dikekalkan Mahkamah Persekutuan.


"Denda jenayah bukan sekadar dikenakan untuk mengisi tabung kerajaan. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan pesalah sendiri menanggung akibat daripada kesalahan yang dilakukannya," ujarnya.


Choon Man berkata, tindakan memindahkan beban kewangan denda jenayah kepada penyokong politik berisiko menjejaskan tujuan hukuman serta menghantar mesej salah kepada masyarakat.


"Apakah mesej yang sedang kita sampaikan kepada pesalah pada masa hadapan? Bahawa jika mereka mempunyai pengaruh politik yang mencukupi, mereka hanya perlu mengumpul wang untuk membayar denda? Bahawa akibat perbuatan rasuah boleh dipindahkan kepada orang lain?" soalnya.


Beliau berkata, perkara itu lebih membimbangkan apabila kesalahan membabitkan penyalahgunaan jawatan awam dan pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.


Menurutnya, kesetiaan politik tidak seharusnya menjadi alat untuk melindungi seseorang daripada akibat sabitan jenayah, apatah lagi apabila prinsip kedaulatan undang-undang menuntut semua pihak bertanggungjawab tanpa mengira kedudukan.


"Rakyat biasa di Malaysia perlu menanggung akibat apabila mereka melanggar undang-undang. Mereka yang mempunyai kuasa politik tidak sepatutnya diberikan layanan berbeza," katanya.


Sehubungan itu, beliau turut menggesa supaya undang-undang pembiayaan politik diperkukuh, khususnya berkaitan ketelusan sumber sumbangan besar dan kutipan dana politik.


Choon Man turut menyeru rakyat tanpa mengira fahaman politik supaya menghormati mahkamah dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.


"Kita boleh mengiktiraf sumbangan seseorang pada masa lalu tanpa menghalalkan kesalahan jenayah yang dilakukannya. Kita boleh menunjukkan rasa belas kasihan tanpa mengorbankan keadilan.


"Sabitan jenayah sepatutnya menjadi pengajaran mengenai pertanggungjawaban, bukannya peluang untuk mengadakan kutipan dana atau meraikan pesalah secara politik," katanya.


Beliau menegaskan keadilan tidak seharusnya diukur berdasarkan pembayaran denda semata-mata, sebaliknya perlu memastikan individu yang disabitkan kesalahan benar-benar menanggung akibat perbuatannya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page