eKYC MyKad baharu: JPN usaha selaras sistem penyedia perkhidmatan


Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang mengambil tindakan bagi menangani kesukaran sebahagian pemilik MyKad Generasi Baharu ketika melakukan pengesahan identiti menerusi sistem electronic Know Your Customer (eKYC).
JPN dalam kenyataannya memaklumkan, tindakan berkenaan dilaksanakan bersama agensi berkaitan dan penyedia perkhidmatan eKYC menerusi beberapa siri sesi libat urus bagi memastikan urusan pengesahan identiti orang ramai berjalan lancar.
"Pada masa ini, penyedia perkhidmatan eKYC sedang mengemas kini sistem masing-masing bagi membolehkan reka bentuk dan ciri MyKad Generasi Baharu dikenal pasti dalam proses verifikasi," kata kenyataan itu.
JPN berkata pihaknya sudah menyediakan maklumat diperlukan kepada penyedia perkhidmatan dan kini memantau pelaksanaan kemas kini berkenaan bagi mempercepatkan proses penyesuaian sistem.
Dalam pada itu, pengguna yang menghadapi kesukaran menggunakan MyKad Generasi Baharu untuk pengesahan eKYC disarankan merujuk kepada institusi atau penyedia perkhidmatan berkenaan bagi mendapatkan kaedah pengesahan alternatif yang tersedia.
Menurut JPN, MyKad Generasi Baharu yang mula dikeluarkan secara rasmi pada 17 September 2026 adalah penambahbaikan dari aspek struktur, reka bentuk, teknologi dan ciri keselamatan bagi meningkatkan perlindungan identiti rakyat.
"Penyesuaian sistem eKYC oleh penyedia perkhidmatan merupakan sebahagian daripada proses peralihan bagi menyokong penggunaan kad baharu tersebut," katanya.
JPN turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan proses kemas kini serta bekerjasama dengan agensi dan penyedia perkhidmatan berkaitan sehingga penyesuaian sistem berkenaan diselesaikan.
"Keutamaan JPN adalah untuk memastikan peralihan kepada MyKad Generasi Baharu dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan kemudahan orang ramai dalam mendapatkan perkhidmatan yang memerlukan pengesahan identiti," kata kenyataan itu.
Agensi dan penyedia perkhidmatan eKYC yang memerlukan maklumat atau penjelasan lanjut mengenai ciri-ciri MyKad Generasi Baharu boleh menghubungi JPN menerusi e-mel commandset@jpn.gov.my.




Comments