top of page

MCA pertikai JAKIM siasat konsert jejas akidah: Di mana suara Pas, Umno?

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
5 minutes ago
2 min read

Di mana suara Pas ketika MCA membuat pertikaian ini? MCA adalah parti komponen BN yang secara jelas diminta Presiden Pas agar ahli serta penyokongnya mengundi calon BN dalam PRN Melaka 2026 - Amir Zuhair

Pendirian Pas dan Umno dipersoalkan susulan kenyataan Pemuda MCA yang mengkritik tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyiasat dakwaan unsur pemujaan dalam konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Pengerusi Pertubuhan Daie Madani (DAMAI), Amir Zuhair Abdull Khalid berkata sikap berdiam diri pimpinan parti yang selama ini lantang memperjuangkan kedudukan Islam menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian mereka apabila kritikan terhadap institusi agama datang daripada rakan politik sendiri.


Beliau yang juga Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Angkatan Muda KEADILAN berkata, tindakan JAKIM menjalankan siasatan terhadap sesuatu aduan tidak seharusnya terus digambarkan sebagai ancaman kepada kebebasan beragama atau berkarya.


Katanya siasatan tidak bermakna seseorang telah melakukan kesalahan apatah lagi membawa maksud kerajaan mahu mengharamkan sesuatu persembahan.


"JAKIM bukan ditubuhkan semalam. Institusi ini mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan.


"Menjalankan siasatan tidak bermakna seseorang telah melakukan kesalahan. Apatah lagi ia tidak semestinya bermaksud kerajaan mahu mengharamkan sesuatu persembahan," katanya dalam kenyataan.


Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan pada 10 November lalu yang menyifatkan siasatan JAKIM terhadap konsert berkenaan sebagai gambaran Kerajaan MADANI semakin konservatif dan terlalu dipengaruhi pendekatan keagamaan.


Yew Chuan turut membangkitkan kebimbangan bahawa penelitian terhadap hiasan pentas dan pakaian artis berdasarkan tafsiran agama boleh menjejaskan kebebasan berkarya serta ruang budaya masyarakat bukan Islam.


Kontroversi itu tercetus selepas konsert jelajah After Hours Til Dawn Tour The Weeknd berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu dengan penggunaan patung robot wanita gergasi berwarna emas serta penari yang mengenakan jubah merah bertudung hud mencetuskan perdebatan mengenai dakwaan unsur ritual pemujaan.


Pada 9 November, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan memaklumkan Bahagian Penyelidikan JAKIM sedang bekerjasama dengan urus setia PUSPAL bagi mengesahkan dakwaan berkenaan serta meneliti pematuhan syarat persembahan konsert itu.


Pas perlu nyatakan pendirian


Mengulas lanjut, Amir Zuhair berkata MCA sepatutnya mengemukakan hujah berdasarkan bidang kuasa dan peruntukan undang-undang sekiranya tidak bersetuju dengan tindakan JAKIM, bukannya menggambarkan penelitian institusi agama sebagai kemunduran.


Beliau turut mempersoalkan pendirian Pas memandangkan parti itu sebelum ini menyeru ahli dan penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan Gerakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.


"Di mana suara Pas ketika MCA membuat pertikaian ini? MCA adalah parti komponen BN yang secara jelas diminta Presiden Pas agar ahli serta penyokongnya mengundi calon BN dalam PRN Melaka 2026," katanya.


Beliau turut meminta Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh menjelaskan pendirian berhubung isu berkenaan selain mempersoalkan sama ada pendekatan mempertahankan institusi Islam hanya lantang apabila kritikan datang daripada parti lawan.


Katanya rakyat berhak mengetahui sama ada Pas dan Umno bersetuju dengan hujah MCA atau mempunyai pendirian berbeza terhadap isu berkenaan.


"Adakah mempertahankan institusi Islam hanya menjadi keutamaan terpilih apabila pihak yang dikritik ialah lawan politik? Atau prinsip yang sama turut dipertahankan apabila kritikan datang daripada rakan sendiri?


"Mempertahankan institusi Islam tidak sepatutnya bergantung kepada siapa yang mengkritiknya sama ada kawan ataupun lawan," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page