top of page

Pemandu e-panggilan mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik terhadap PM

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
5 hours ago
2 min read
Syed Rosli Syed Harman (kiri) berjalan keluar bersama pegawai penyiasat MCMC selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap PM di Mahkamah Sesyen, Sepang hari ini.
Syed Rosli Syed Harman (kiri) berjalan keluar bersama pegawai penyiasat MCMC selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap PM di Mahkamah Sesyen, Sepang hari ini.

Seorang pemandu e-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik melampau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui media sosial pada Mac tahun lepas.


Syed Rosli Syed Harman, 50, sebagai orang kena saman (OKS) didakwa membuat hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain menerusi akaun TikTok ‘syedroslijamalullail’ pada 18 Mac 2025.


Berdasarkan lampiran yang dilihat Suara Keadilan, hantaran OKS itu berkaitan komunikasi seruan menggunakan Qunut Nazilah terhadap Perdana Menteri.


Hantaran itu dilihat di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya pada 8.30 malam, tarikh yang sama.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.


Pertuduhan itu membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan dikenakan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.


Syed Rosli berkata: "Tidak mengaku salah," sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.


Pegawai pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd Zameri kemudian mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.


Peguam Muhammad Uzair Rifqi Abdul Rahim memohon jaminan RM3,000 memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu e-panggilan dengan pendapatan bulanan RM1,000, selain menjalankan perniagaan kecil dan sederhana dengan pendapatan tidak menentu.


Beliau berkata anak guamnya perlu menyara isteri dan dua orang anaknya selain menjaga bapa mentuanya yang sakit.


"Anak guam saya juga mempunyai masalah kesihatan iaitu tekanan darah tinggi dan diabetes yang memerlukan pemantauan berkala serta pengambilan ubat secara berterusan.


"Beliau tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan oleh MCMC," katanya sambil menambah pihak pembelaan akan mengemukakan representasi berhubung pertuduhan tersebut.


Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin tempatan.


Mahkamah menetapkan 6 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan representasi berhubung pertuduhan itu.


Sementara itu, dalam kes berasingan melibatkan pertuduhan terhadap seorang juruteknik, Norfirdaus Abdul Rahman di bawah akta yang sama, Hakim Raja Sharil Anuar menetap sebutan semula pada Jumaat ini, 20 November ini.


Ia berikutan OKS tidak hadir bagi sebutan kes pada pagi ini.


Peguam Azi Azlin Zuklifli berkata, anak guamnya memaklumkan dia tidak bersedia untuk hadir ke mahkamah selain perlu melakukan urusan berkaitan kesihatan ibunya di Kampung Gajah, Perak.


Bagaimanapun, alasan "tidak bersedia hadir" itu mendapat teguran hakim yang menyifatkan OKS perlu memberikan sebab lebih munasabah.


"Tidak boleh macam itu, tidak bersedia hadir, alasan biar munasabah jangan simply...no such thing," ujarnya.


Terdahulu pegawai pendakwa MCMC Fadhli Ab Wahab memberitahu saman telah dikeluarkan kepada OKS terbabit pada 27 Oktober lalu.


"Pihak pendakwa tidak dimaklumkan OKS tidak dapat hadir di mahkamah pada pagi ini," ujarnya sambil memaklumkan OKS mempunyai sebutan representasi pada Jumaat ini.


Dalam kes berasingan pada 27 Ogos lalu, Norfirdaus mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berupa video yang disifatkan sebagai jelik melampau menerusi aplikasi TikTok.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page