Malaysia mahu Perancis labur dalam industri pemprosesan nadir bumi


Malaysia mengalu-alukan pelaburan Perancis dalam sektor pemprosesan unsur nadir bumi bagi memperkukuh keupayaan industri mineral kritikal negara, selain memastikan aktiviti pemprosesan dilaksanakan secara selamat dan tidak menjejaskan alam sekitar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama dalam sektor berkenaan perlu berasaskan kepercayaan serta perkongsian manfaat antara kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan sebelum mesyuarat dua hala bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Anwar berkata, Malaysia berminat memperluas aktiviti pemprosesan nadir bumi dengan menarik kepakaran, teknologi dan pelaburan dari Perancis.
Hasrat itu turut mendapat respons positif Macron yang menyatakan nadir bumi sebagai antara bidang utama kerjasama yang ingin diterokai Perancis bersama Malaysia menerusi pendekatan saling menghormati dan memberi manfaat bersama.
Kerjasama Carester-Malaco buka peluang industri
Kerjasama itu turut mempunyai asas pelaksanaan menerusi projek perindustrian antara syarikat Perancis, Carester dan syarikat tempatan, Malaco Mining Group.
Menurut laporan Astro AWANI, projek berkenaan merangkumi aktiviti pengekstrakan dan pemprosesan nadir bumi di Malaysia, dengan operasi dijangka bermula seawal awal 2027.
Kerjasama tersebut turut melibatkan Biro Penyelidikan Geologi dan Perlombongan Perancis (BRGM), yang akan menempatkan pakar teknikal di Malaysia bagi membantu pembangunan industri mineral kritikal negara.
Pendekatan Malaysia memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan pemprosesan domestik supaya negara tidak hanya bergantung kepada eksport bahan mentah, sebaliknya mampu membina kepakaran dan nilai tambah dalam rantaian industri mineral kritikal.
Selain nadir bumi, Anwar turut menyatakan sektor aeroangkasa, pertahanan dan semikonduktor mempunyai potensi untuk menerima lebih banyak pelaburan Perancis.
Macron pula menyatakan minat untuk memperluas kerjasama dalam semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data serta bidang pertahanan dan keselamatan.
Pada 2025, jumlah perdagangan Malaysia-Perancis mencapai RM17.78 bilion, dengan eksport Malaysia bernilai RM6.05 bilion dan import dari Perancis berjumlah RM11.73 bilion.
Peningkatan hubungan kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik ketika lawatan rasmi Macron itu dijangka menyediakan ruang lebih luas untuk kerjasama perdagangan, pelaburan, mineral kritikal, pertahanan dan peralihan tenaga.




Comments