top of page

Malaysia-Perancis lakar perkongsian strategik baharu

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
3 hours ago
2 min read
DS Anwar dan Macron menghabiskan sehari dalam lawatan dan perbincangan di Bangunan Sultan Abdul Samad yang diberi fungsi baharu sebagai bangunan bersejarah menyambut lawatan pemimpin luar.
DS Anwar dan Macron menghabiskan sehari dalam lawatan dan perbincangan di Bangunan Sultan Abdul Samad yang diberi fungsi baharu sebagai bangunan bersejarah menyambut lawatan pemimpin luar.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berlepas pulang selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia yang menyaksikan hubungan kedua-dua negara dipertingkat kepada perkongsian strategik, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang ekonomi, pertahanan dan teknologi.


Macron bersama isterinya, Brigitte Macron serta delegasi Perancis berlepas menaiki pesawat khas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.05 petang.


Lawatan atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan kunjungan pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Perancis pada 2017.


Antara pencapaian utama lawatan itu ialah persetujuan Malaysia dan Perancis meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 2027.


Anwar dan Macron turut menyaksikan pertukaran tujuh dokumen kerjasama, termasuk tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua surat hasrat yang meliputi bidang peralihan tenaga, mineral kritikal, pertahanan serta kesalinghubungan digital.


Kerjasama dalam sektor nadir bumi turut mendapat perhatian apabila kedua-dua negara bersetuju memperluas usaha pemprosesan mineral kritikal, termasuk menerusi kerjasama syarikat Perancis Carester dan Malaco Mining dari Malaysia. Projek berkenaan disasarkan memulakan operasi pada 2027.


Selain itu, kedua-dua negara turut meneroka kerjasama dalam industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa, keselamatan siber dan pembangunan teknologi tinggi.


Malaysia berharap peningkatan hubungan tersebut dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dari Perancis, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi, pemindahan teknologi dan pewujudan pekerjaan bernilai tinggi.


Pada 2025, perdagangan Malaysia-Perancis mencecah RM17.78 bilion, menunjukkan asas ekonomi yang kukuh untuk mengembangkan hubungan perdagangan dan pelaburan.


Lawatan itu bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1957, malah meletakkan asas kerjasama lebih menyeluruh antara kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran ekonomi, keselamatan dan perubahan teknologi global.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page