Premium RM1,000: KLSCAH bukan lagi tapak komersial, bangunan warisan


Pada 14 September 2026, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan penukaran syarat kegunaan tanah secara kekal kepada institusi. Apabila terikat dengan syarat institusi dan sekatan warisan, tanah ini tiada lagi nilai pembangunan komersial, sekali gus mewajarkan kadar premium nominal RM1,000 - Jeremy
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan, Jeremy Ang menyifatkan, kritikan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berhubung kadar premium nominal RM1,000 bagi pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) sebagai tidak mengambil kira fakta perundangan tanah serta status pemuliharaan warisan negara.
Bagi menjernihkan naratif yang mengelirukan orang ramai itu, Jeremy berkata, pihaknya tampil menggariskan empat fakta utama iaitu KLSCAH telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) sejak 6 Julai 2007.
Status itu ujarnya, melarang pemilik daripada merobohkan atau membangunkan semula tapak tersebut menjadi projek komersial seperti kondominium atau menara pejabat, selain mewajibkan kos pemuliharaan bangunan lama yang tinggi.
Beliau berkata, fakta kedua berkaitan penurunan daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 dan nilaian asal berjumlah RM4.67 juta dikira berdasarkan status geran komersial terdahulu.
"Pada 14 September 2026, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan penukaran syarat kegunaan tanah secara kekal kepada institusi. Apabila terikat dengan syarat institusi dan sekatan warisan, tanah ini tiada lagi nilai pembangunan komersial, sekali gus mewajarkan kadar premium nominal RM1,000.
"Ketiga, mengenai bayaran sebenar, bukan percuma. Berdasarkan notis tanah rasmi susulan kelulusan bertarikh 1 Oktober 2026, KLSCAH wajib menjelaskan bayaran awal berjumlah RM5,011 (merangkumi premium, sewa tahun pertama, dan caj pentadbiran) serta membayar cukai tanah tahunan sebanyak RM3,151 sepanjang tempoh pajakan 99 tahun.
"Fakta terakhir ialah ruang aktivisme pelbagai kaum. KLSCAH ialah bangunan lama yang menawarkan sewa rendah kepada NGO, mahasiswa, dan aktivis masyarakat untuk menganjurkan forum awam, wacana intelektual, dan program kebajikan, bukan dewan komersial mewah.
"Walaupun bangunan ini membawa nama 'Cina', sejarah membuktikan bahawa pintunya sentiasa terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Ramai pemimpin politik, tokoh masyarakat, dan aktivis daripada pelbagai kaum telah memulakan perjalanan politik serta perjuangan demokrasi mereka di dewan ini," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Jeremy menyeru semua pihak agar berhenti mempolitikkan setiap dasar pemeliharaan warisan atau institusi yang dikaitkan dengan masyarakat Cina, dan sebaliknya berhujah berlandaskan fakta.
Terdahulu, kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur, bagi tempoh 99 tahun dengan premium RM1,000 berbanding anggaran asal kira-kira RM4.67 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menjelaskan keputusan itu mengambil kira perubahan penggunaan tanah daripada komersial kepada institusi, selain kepentingan memelihara bangunan bersejarah berkenaan.
Untuk rekod, bangunan KLSCAH tidak asing kepada aktivis Pas yang turut juga menggunakan premis berkenaan sepanjang perjuangan menentang kerajaan BN sehingga menjadi Kerajaan Persekutuan 2020. Oleh itu sewajarnya aktivis parti itu juga menjelaskan isu sebenar kepada anggota Pas-PN yang kurang faham.




Comments