MB N Sembilan perlu buktikan sokongan majoriti di DUN, lantik Exco baharu - Istana


Persoalan itu tidak timbul, kerana beliau menegaskan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan. Pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan perlembagaan dan Datuk Ismail Lasim perlu menunjukkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri - Pengelola Bijaya Diraja
Krisis kepimpinan Kerajaan BN-PN Negeri Sembilan terus tegang apabila Menteri Besar (MB) Datuk Ismail Lasim yang didakwa BN meletak jawatan masih diperkenankan kekal sebagai MB.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negeri Sembilan, selepas Ismail menghadap Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pagi tadi meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu membuktikan bahawa beliau masih memperoleh sokongan majoriti ADUN bagi membolehkannya kekal sebagai Menteri Besar.
Dalam kenyataan itu, Pengelola Bijaya Diraja memaklumkan bahawa Datuk Ismail telah menyembah maklum Kebawah Duli Tuanku bahawa beliau tidak mengemukakan surat peletakan jawatan pada 16 Nov lalu, dan tidak bersetuju surat itu dikemukakan.
"Oleh kerana beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa pihak Istana mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar.
"Persoalan itu tidak timbul, kerana beliau menegaskan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan. Pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan perlembagaan dan Datuk Ismail Lasim perlu menunjukkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.
"Datuk Ismail Lasim juga hendaklah mengemukakan senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan Kebawah Duli Tuanku," kata kenyataan itu.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja lagi, selepas proses itu dilakukan maka Sidang DUN dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 boleh diadakan.
"Setelah perkara ini disempurnakan, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri dan pembentangan Belanjawan Negeri akan ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Kebawah Duli Tuanku berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan," katanya.
Terdahulu, Ismail dilapor kekal menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz untuk meneruskan khidmat dan tanggungjawab itu.




Comments