Pesan pimpinan belia Kerala: 'Bina persahabatan tanpa batas politik'


Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran menyifatkan pertemuannya dengan Presiden Liga Belia Muslim Negeri Kerala, Shri Sayyid Munavvar Ali Shihab Thangal di kediamannya di Panakkad, Kerala, India, semalam sebagai satu penghormatan besar.
Beliau berkata, Shri Sayyid yang juga Setiausaha Kesatuan Liga Muslim India (IUML) merupakan seorang pemimpin disegani yang terus memainkan peranan penting dalam menangani pelbagai isu berkaitan sosial, politik dan masyarakat.
"Beliau berasal daripada keluarga yang mempunyai legasi kepimpinan dan khidmat masyarakat yang cukup besar, selain meneruskan nilai serta aspirasi yang diwarisi daripada bapanya dan generasi terdahulu.
"Pertemuan itu turut diisi dengan perbincangan bermakna mengenai pelbagai isu, termasuk politik, pembangunan sosial, sikap tidak bertoleransi terhadap agama, kepentingan saling menghormati serta keperluan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
"Usaha membina persahabatan dan hubungan bermakna tanpa dibatasi sempadan politik juga merupakan sesuatu yang penting.
"Perbezaan ideologi politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perbincangan bermakna, peluang untuk saling belajar serta kerjasama demi kebaikan bersama," katanya dalam satu kenyataan.
Susulan pertemuan penuh bermakna itu, beliau menzahirkan penghargaan atas layanan mesra yang diberikan, pertukaran pandangan yang membina dan peluang untuk memperkukuh hubungan persahabatan menerusi pertemuan berkenaan.
Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, persahabatan yang baik melangkaui batas politik, manakala perbincangan bermakna mampu menjadi jambatan untuk membina masa depan yang lebih baik.




Comments